Persiapan The Hawks goyah

1302

PENGENDALI The City Boys, Yusri Che Lah mengakui kehilangan pertahanan kirinya, Syazwan Andik bagi saingan Liga Malaysia 2019 memberi kesan kepada persiapan pasukan namun semua ini perlu diterima dengan hati terbuka.

Menghormati keputusan Syazwan yang menyatakan hasrat untuk meninggalkan pasukan, Yusri mengharapkan pemain terbabit dalam merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan baharunya.

"Memang persiapan pasukan terjejas dengan kehilangan Syazwan terutamanya dalam tempoh yang agak singkat ketika ini untuk mencari pengganti, namun keputusannya meninggalkan The Hawks saya hormati.

"Cuma pesan saya, apabila berada dalam pasukan baharu, rebutlah tempat sebagai pemain utama untuk memastikan corak permainan konsisten dan semakin meningkat kerana ia bagus untuk berada dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang," jelasnya ketika dihubungi SukanSinar, sebentar tadi.

Pada masa sama bekas pengendali Kelantan ini juga mengharapkan ketiadaan Syazwan dalam skuad The City Boys dimanfaatkan sepenuhnya barisan pemain yang ada untuk mengisi kekosongan posisi tersebut.

"Seperti yang telah saya katakan tadi, tempoh masa yang singkat untuk mencari pengganti baharu agak sukar, jadi pemain sedia ada perlu membuktikan kemampuan ada untuk mengalas amanah tersebut

"Bagi saya jika kita masih memiliki pemain yang secara terbuka untuk keluar dari pasukan ia bukanlah sesuatu yang memberi manfaat bukan pasukan dan juga pemain tersebut," jelasnya.

Semalam, pertahanan kiri skuad Kuala Lumpur dan Harimau Malaya ini secara terbuka memaklumkan keputusannya meninggalkan Kuala Lumpur selepas majikannya itu gagal membayar gaji dua bulan pada November dan Disember lalu. Keputusannya juga telah dimaklumkan melalui emel dan surat Yusri 9 Januari lalu.

Komen anda