Pertahanan Real jadi bahan kecaman

46
Zidane sedar masalah yang dihadapi pasukannya di benteng pertahanan namun menegaskan tidak risau dengan situasi tersebut.

PERTAHANAN Real Madrid menjadi kecaman peminat pasukan itu selepas mempamerkan aksi longlai di sebalik kemenangan 5-3 ke atas Fenerbahce dalam saingan Piala Audi awal pagi tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Allianz Arena awal pagi semalam, Real tidak menampilkan corak bertahan yang berkualiti selepas bolos tiga gol menerusi jaringan pemain Fenerbahce Garry Rodrigues, Nabil Dirar dan Ozan Tufan.

Ia sekali gus menyaksikan pasukan itu telah melepaskan 16 gol dalam lima perlawanan pra musim, angka yang disifatkan peminat Real sebagai cukup tinggi buat pasukan gergasi Sepanyol itu.

Pengendali Real, Zinedine Zidane menyedari rapuhnya benteng pertahanan pasukan bimbingannya namun menegaskan tidak risau dengan situasi itu.

Malah, beliau menegaskan masih mempunyai masa untuk memperbaiki elemen pertahanannya selain yakin segalanya akan berubah apabila liga bermula.

"Bagi saya Real sudah menunjukkan kualiti di bahagian serangan dengan pemain penyerang menampilkan apa yang saya mahukan daripada mereka.

"Elemen pertahanan menjadi perkara yang berbeza. Kami akan berusaha untuk mengatasinya bersama pemain dan staf kejurulatihan.Saya tahu kami akan maju dan mempunyai musim yang sangat bagus," katanya.

Sementara itu, Zidane tidak mahu mengulas mengenai pemain sayapnya, Gareth Bale yang tidak mengikuti jelajah pra musim di Munich selepas perpindahannya ke sebuah kelab di China menemui jalan buntu.

Sebelum ini, Zidane mengatakan pemain kelahiran Wales itu tidak di bawa ke Munich kerana tidak sihat, namun sebaliknya berlaku apabila media merakamkan gelagat Bale sedang bermain golf.

"Kami akan lihat situasi Bale apabila kami kembali ke Sepanyol.Secara jujurnya saya tidak mahu masuk campur apa aktiviti peribadi pemain itu

"Tetapi, Bale perlu sedar tentang tanggungjawabnya sebagai pemain. Saya tidak mahu ulas banyak dan tunggu kami pulang ke Sepanyol," katanya.

Komen anda