Petanda positif Kian Meng, Pei Jing

83
Aksi Kian Meng (belakang) dan Pei Jing pada saingan separuh akhir Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2019.

BIARPUN berjaya melangkah sehingga ke separuh akhir kejohanan badminton  Terbuka Malaysia 2019 namun hasrat pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing untuk ke final tidak kesampaian apabila tewas kepada pilihan kedua kejohanan dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping di Axiata Arena, Bukit Jalil hujung minggu lalu.

Ketiadaan wakil negara di pentas akhir di laman sendiri pastinya mengecewakan peminat badminton negara namun bagi jurulatih beregu campuran, Chin Eei Hui melihat kebangkitan pasangan ini yang berjaya mara sehingga separuh akhir merupakan petanda baik buat mereka.

Jelasnya, untuk Kian Meng-Pei Jing, ia adalah pencapaian yang bagus untuk mereka kerana dalam beberapa kejohanan sebelum ini, mereka tewas di peringkat awal.

“Walaupun kalah di separuh akhir, ini adalah satu keyakinan besar buat Kian Meng-Pei Jing. Saya harap mereka akan konsisten dan terus meningkat selepas ini.

“Biarpun prestasi mereka ketika ini masih di bawah tahap sebenar berbanding ketika pasangan ini berada di ranking 10 terbaik dunia, saya yakin sekiranya mereka berkeyakinan tinggi, tidak mustahil untuk kembali ke prestasi asal seperti dulu,” ujarnya.

Pada perlawanan di pentas separuh akhir, Kian Meng-Pei Jing tersekat setelah mereka kalah straight set dengan keputusan 13-21 17-21.

Di set pertama perlawanan, Kian Meng-Pei Jing memberikan tentangan sengit ketika awal aksi namun segalanya tidak menjadi selepas itu sekaligus memberikan kemenangan kepada lawan 13-21.

Dalam set kedua, mereka sekali lagi cuba untuk melakukan kebangkitan namun lawan dari China yang juga gandingan ranking kedua dunia itu nyata agak liat buat Kian Meng-Pei Jing apabila tewas 17-21.

Komen anda