Petronas Yamaha SRT pamer karakter melawan

272
Pasukan MotoGP tempatan, Petronas Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT) menamatkan sesi ujian rasmi pra-musim Kejuaraan MotoGP 2019 dengan sangat mengagumkan.
Pada sesi ujian berlangsung selama tiga hari di Litar Antarabangsa Sepang berakhir, kedua-dua pelumba pasukan berkenaan, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo mempamerkan pencapaian cemerlang menerusi jentera Yamaha YZR-M1.
Morbidelli, 24, memulakan sesi ujian tersebut hari ini dengan tunggangan bertenaga, menyaksikan beliau memperbaiki catatan masa terpantasnya, sekali gus melonjak dalam kedudukan 10 pelumba terbaik, dan kedudukan itu kekal sehingga tamat ujian itu.
Beliau ternyata amat berpuas hati dengan catatan masa terpantasnya 1:59.141s pada pusingan kelapan daripada keseluruhan 66 pusingan dilakukannya semalam.
“Hari terakhir di Litar Antarabangsa Sepang berjalan amat baik. Kita berjaya melengkapkan program yang dirancang semalam, dengan meningkatkan kemajuan secara maksima. Saya tidak dapat melakukan simulasi perlumbaan kerana banyak perlu dilakukan di sini, namun kita akan laksanakan semasa ujian di Qatar. Apa saya lakukan ialah mencatat masa terbaik.
“Kita juga mencuba beberapa tayar berbeza, termasuk tayar lembut, dan mendapatkan beberapa data berguna. Kita masih ada perkara perlu dilakukan kerana kita mahu berada di hadapan, dan kita akan berusaha ke arah itu,” katanya.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Quartararo berjaya memadamkan halangan catatan bawah dua minit apabila merekodkan masa terpantas 1:59.497s di pusingan ke-13 daripada 31 pusingan dilakukannya.
“Pagi ini kita melakukan masa sepusingan agak baik, di bawah dua minit, namun kelemahan kita masih sama kerana saya bergelut mencatat masa pusingan kelayakan. Namun, saya sangat gembira dalam simulasi perlumbaan pertama saya menggunakan jentera MotoGP yang saya rasa cukup baik.
“Di Qatar, kita perlu menumpukan kepada brek dan pada selekoh pertama di sana tempat yang baik untuk tujuan itu kerana ia agak sukar pada brek. Itu matlamat kita kerana di selekoh yang laju, kita berada dalam keadaan baik,” kata pelumba kelahiran Perancis itu.
Selepas sesi ujian cemerlang di Litar Antarabangsa Sepang, tugas seterusnya Petronas Yamaha SRT ialah ujian di Qatar pada 23 hingga 25 Februari dua minggu sebelum perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan MotoGP 2019 di venue sama.-  Bernama

Komen anda