‘PFA dapat penaja jika kembali beraksi’

807

Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dijanjikan tajaan oleh sebuah syarikat jika diterima beraksi semula dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan enggan mendedahkan nama syarikat tersebut.

“Saya yakin dan percaya rayuan berserta dokumen kewangan yang dikemukakan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mempunyai merit untuk menyokong permohonan kami,” katanya kepada pemberita di Kangar semalam.

Kelmarin, PFA mengemukakan rayuan untuk kembali beraksi dalam kancah bola sepak negara dengan menyerahkan dokumen sokongan kepada Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik di Petaling Jaya.

MFL baru-baru ini membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga-M 2019 berikutan dokumen kewangan yang diserahkan oleh PFA pada 18 Februari lepas mendapati sumber pendapatannya tidak cukup untuk menguruskan pasukan bersaing musim ini.

Mohd Abdul Karim Khan berkata, keputusan rayuan itu akan diketahui dalam masa terdekat dan ketika ini pemain-pemain Singa Utara masih meneruskan latihan seperti biasa di Kangar.

Perlis yang bermain dalam saingan Liga Premier memenangi satu perlawanan ketika menentang UiTM FC dan tewas kepada UKM FC dan JDT II sebelum penyertaan mereka dibatalkan oleh MFL.

Komen anda