PFA tiada masalah serah dokumen

486

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie bersedia menyerahkan segala bukti dokumen kedudukan kewangan mereka sebelum 15 Februari ini seperti yang diarahkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)

Jelasnya, tempoh lebih kurang seminggu itu cukup untuk mereka melengkapkan segala dokumen yang diperlukan itu.

“Tiada masalah, kami akan hantar segala dokumen berkenaan kewangan pasukan Perlis sebelum 15 Februari ini.

“Sememangnya MFL sentiasa berhubung dengan kami untuk mengikuti perkembangan pasukan dan tidak ada masalah untuk mematuhi segala arahan MFL,” tegasnya.

Pada masa sama Amizal memaklumkan PFA sendiri perlu bertanggungjawab atas segala kemelut yang melanda dan bukannya MFL.

“Segala kemelut yang melanda Perlis ini bukan salah MFL, ini masalah PFA sendiri apabila perancangan yang kami susun tak ikut perancangan asal.

“Keputusan MFL naikkan Perlis ke Liga Premier tak salah ia keputusan tepat ketika itu, masa itu memang kita ada perancangan yang jelas dan tersusun tapi malangnya benda impak negatif itu timbul selepas MFL menaikkan Perlis ke Liga Premier, jadi bila impak negatif itu berlaku ia merosakkan segala perancangan,” katanya.

Skuad Singa Utara kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid itu memulakan kempen Liga Premier dengan kekalahan 1-2 kepada UKM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad lalu.

Susulan masalah kewangan yang menghimpit PFA sehingga gagal melunaskan bayaran gaji pemain awal musim ini, pihak pengurusan skuad Singa Utara itu diarahkan oleh MFL untuk mengemukakan bukti dokumen kewangan dengan segera.

Segala dokumen itu akan diserahkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membuat tindakan susulan.

Perlis yang beraksi dalam Liga Premier musim ini turut mempunyai tunggakan gaji 18 pemain tahun lalu namun berdasarkan perjanjian bersama MFL, hutang itu akan dibayar menggunakan geran tahunan andai tidak dapat dilangsaikan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh 28 Disember lalu.

Perlis mendapat slot untuk menggantikan tempat MIFA dalam Liga Premier selepas kelab yang kini dikenali sebagai Pj City FC itu dinaikkan taraf ke unifi Liga Super selepas penarikan diri Felcra FC.

Sebelum ini FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) mencadangkan tiga pasukan iaitu Kuching FA, ATM dan Perlis dari Piala FAM untuk mengisi slot Liga Premier berdasarkan dokumen perancangan pasukan berkenaan termasuk aspek kewangan.

Daripada tiga pasukan ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian membuat pemilihan berdasarkan kriteria tertentu antaranya kekuatan penyokong dan masalah hutang.

Komen anda