PFAM: Fakta bukan semberono     

36

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY  

PERSATUAN Pemain Profesional Malaysia (PFAM) menafikan mereka mengeluarkan kenyataan berhubung tunggakan gaji pemain berjumlah RM6.4 juta Ahad lalu secara melulu dan tidak bertanggungjawab sebagaimana didakwa Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.

PFAM memaklumkan bahawa kenyataan menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail dikeluarkan selepas melalui beberapa siri rundingan dan perbincangan bersama pasukan dan pemain yang terlibat.

“Sebagai contoh, bagi kes yang melibatkan pasukan Pahang dan Negeri Sembilan. Ia merupakan kes tuntutan gaji bekas pemain import mereka, Alex de Morais  yang dipinjamkan Pahang kepada Negeri Sembilan yang mana kedua-dua pasukan bersetuju untuk berkongsi membuat bayaran gaji pemain berkenaan.

“Sehingga kenyataan dikeluarkan pada Ahad lalu, pemain itu mengesahkan bahawa beliau masih belum menerima bayaran seperti yang dijanjikan. Malah, pasukan Negeri Sembilan dan Pahang juga tidak memberi sebarang makluman semasa dan maklum balas kepada kami berhubung perkara ini,” kata PFAM menerusi satu kenyataan media semalam.

Mengenai kes Melaka United, PFAM memberitahu, berdasarkan tuntutan yang dibuat oleh beberapa pemain, pasukan itu berjanji akan membuat bayaran selepas mendapat wang geran hak penyiaran daripada pihak MFL, namun masih belum ada sebarang pembayaran dibuat.

“Pada 17 Julai 2019, MFL sendiri telah mengumumkan bahawa agihan geran hak penyiaran bagi fasa pertama telah selesai. Ini bermakna MFL juga telah menjalankan tanggungjawab mereka tetapi pasukan masih tidak membuat bayaran kepada para pemain. Jjika tidak secara penuh sekalipun, sekurang-kurangnya ada bayaran dibuat,” ujar PFAM lagi.

Dalam kenyataan yang sama, PFAM turut mengaitkan kes Kelantan yang membabitkan tuntutan pemain-pemain seperti Brendan Gan, Noor Hazrul, Daudsu Jamaludin, Zairul Fitree, Amiridzwan Taj, Badhri Radzi dan beberapa orang lagi yang didakwa sudah berlanjutan hampir lima tahun tahun.

“Bagi kes-kes lain seperti kes ATM FA (melibatkan sembilan pemain – perjanjian dibuat pada 30 Mei 2018 ), PDRM FA (Nakatake Shunsuke – 22 Mei 2019, Petrisor Voinea, Izaaq Izhan) dan Felda United FC (Jaycee John – 24 Jun 2019), kami sendiri mengakui bahawa sudah ada perjanjian baik secara bertulis dan juga secara lisan antara pasukan dan pemain bagi menyelesaikan bayaran hutang secara berperingkat.

“Bagaimanapun, apa yang dikesalkan adalah pihak pasukan tidak membuat bayaran mengikut jadual pembayaran yang sudah dipersetujui. Pastinya yang paling merasai keperitan adalah bekas pemain Perlis, Terengganu City FC, Hanelang FC, Kuantan FA dan Marcerra United FC yang terus menantikan gaji mereka,” katanya.

Komen anda