Piala Airmarine: Harimau Malaya ketiga terbaik

2436

HARIMAU Malaya kembali mempamerkan kebangkitan selepas dikecam berikutan persembahan hambar ketika tewas 0-1 kepada Singapura Rabu lalu, untuk menewaskan Afghanistan, 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Kecundang pada perebutan pentas final kepada The Lions, anak buah Tan Cheng Hoe memastikan Afghanistan sebagai mangsa kebangkitan untuk merebut tempat ketiga pada kejohanan yang turut disertai Oman dan Singapura.

Harimau Malaya yang tampil menurunkan empat muka baharu dalam kesebelasan utama kali ini bagaimanapun ketinggalan pada minit ke-32 selepas Afghanistan memperolehi gol hasil jaringan Faysal Shayesteh.

Namun Faiz Nasir yang kali pertama beraksi untuk skuad negara membuktikan impaknya apabila menyamakan kedudukan di penghujung babak pertama untuk memastikan kedua pasukan beredar ke bilik persalinan dengan keputusan 1-1.

Memasuki babak kedua, perlawanan seimbang dan asakan berterusan Malaysia ke atas lawan memastikan jaringan gol sendiri pemain Afghanistan, Abassin Alikhil pada minit ke-84 untuk meletakkan tuan rumah di hadapan dan keputusan tersebut kekal sehinggalah tamat perlawanan.

Komen anda