Piala Causeway: Primavalet suntik semangat cabaran Pasukan Media Malaysia

78

PASUKAN Media Malaysia mendapat suntikan semangat apabila menerima tajaan daripada syarikat, Primavalet menjelang Kejohanan Golf Piala Causeway yang akan diadakan pada 10 dan 11 September ini di Kelab Golf Sentosa, Singapura.

 

 

Tajaan tersebut diserahkan oleh Pengarah Primavalet, Dr. Arshad Beg Mirzaja Hanjuan kepada Ketua Pasukan Media Malaysia, Arep Kulal dalam satu majlis ringkas di butik Primavalet di Bangi, kelmarin.

 

 

Primavalet, yang merupakan hub fesyen terbesar di Malaysia dan dimiliki sepenuhnya oleh Bumiputera menganggap media merupakan antara faktor kejayaan syarikat Primavalet sejak ianya ditubuhkan pada tahun 2017. Berbekalkan rekacipta 25 pereka fesyen tanahair yang menghasilkan lebih 300 model pakaian yang memenuhi permintaan rakyat tempatan, Dr. Arshad merasakan media di Malaysia memainkan peranan paling penting sebagai jambatan penghubung diantara Primavalet dan masyarakat Malaysia.

 

 

Atas faktor itu, Primavalet terpanggil untuk bersama membantu Pasukan Media Malaysia untuk misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu.

 

 

“Primavalet sentiasa aktif dalam program-program kemasyarakatan dan perpaduan bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan kini menjadikan sukan sebagai salah satu cabang program CSR kami, justeru apabila diajukan kertas tajaan ini, saya merasakan inilah masa yang paling sesuai untuk saya menyumbang kepada pihak media yang banyak membantu saya selama ini”, ujar Dr. Arshad.

 

 

Ketika ditanya harapan beliau dengan Pasukan Media Malaysia, Dr. Arshad berharap tajaan yang diberi mampu memberi semangat kepada pemain untuk bermain bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama Malaysia.

 

 

“Kalah dan menang adat dalam pertandingan namun saya berharap pemain Malaysia harus bermain bersungguh-sungguh demi memastikan kejayaan milik pasukan Malaysia’ ujar Dr. Arshad dengan penuh semangat.

 

 

Sementara itu Ketua Pasukan Media Malaysia, Arep Kulal berkata, pasukannya berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menghadapi kejohanan pada 10 September depan.

 

 

“Pemain bersedia dan berada dalam keadaan terbaik. Saya berharap mereka akan menunjukkan semangat yang tinggi dan mencipta kemenangan selain mengeratkan hubungan silaturrahim antara pemain” ujar Arep Kulal ketika ditemui selepas majlis tersebut.

 

 

Kejohanan Golf Piala Causeway yang memasuki edisi kali ke -12 menemukan pengamal media dari Malaysia dan Singapura yang akan bertarung selama 2 hari mengikut format ‘Ryders Cup’. Tuan rumah kejohanan dibuat mengikut giliran dengan Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun lalu.

 

 

Malaysia memenangi Piala Causeway sebanyak 7 kali dan dalam misi untuk melengkap hatrick kejuaraan sejak 2017.

Komen anda