Piala Dunia 2034: AFF harap kerjasama erat Sekretariat ASEAN

79
Khiev Sameth

JAWATANKUASA Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) berharap dapat bekerjasama rapat dengan Sekretariat ASEAN dan rakan kongsi utama lain untuk mencapai impian rantau itu untuk menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia pada masa depan.

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata semua ahli gabungannya telah mengesahkan sokongan terhadap hasrat itu susulan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan AFF di sini, kelmarin.

Beliau mendedahkan sejak pembentukan jawatankuasa itu sejak 2013, mereka telah meneroka pelbagai kemungkinan kerana mengetahui rantau ASEAN berpotensi menjadi tuan rumah Piala Dunia.

“Oleh itu, kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN di mana FIFA sebagai badan bola sepak induk dunia telah memberi tanggungjawab kepada semua negara anggota mengenai tuntutan mekanisme pembidaan untuk sebarang kejohanan FIFA,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh AFF semalam.

Dalam hal ini, Sameth mengakui bahawa menjadi tuan rumah Piala Dunia di ASEAN, secara kolektif merupakan ekonomi ketiga terbesar di Asia dan ketujuh terbesar di dunia, akan menjana manfaat ekonomi dan sukan yang besar untuk rantau ini serta bola sepak sebagai sukan nombor satu di kebanyakan negara anggota ASEAN.

“Lebih penting ia akan memperkukuhkan ikatan dalam kalangan 640 juta penduduk di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), Ratu Tisha Destria berkata, pihaknya tidak sabar untuk meletakkan asas yang kukuh untuk hasrat ASEAN diberi peluang menjadi tuan rumah Piala Dunia.

Beliau berkata, Indonesia merupakan antara negara pertama di rantau ini yang melahirkan hasrat untuk menghoskan Piala Dunia bersama beberapa negara lain.

“Jadi kami bangga idea ini mendapat perhatian peringkat kerajaan dan kini kita mempunyai peluang untuk membawa idea ini ke hadapan dengan AFF memainkan peranan penting dalam meletakkan pembidaan yang bersepadu,” katanya.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Thansak Supraset pula berkata pihaknya sedang mempertimbangkan secara serius usaha memperbaiki infrastruktur bola sepak berikutan sokongan kerajaan untuk membida Piala Dunia.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan negara itu membina sebuah stadium baharu berhampiran Lapangan Terbang Suvarnabhumi.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, bulan lalu, Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-Cha mengumumkan kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Komen anda