Piala Dunia 2034: FAM mahu jaminan kerajaan

76

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu mendapatkan persetujuan dan jaminan daripada kerajaan sebelum mengambil sebarang langkah dalam pembidaan penganjuran Piala Dunia ASEAN.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau akan bertemu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membincangkan sama ada kerajaan akan memberi jaminan yang diperlukan dalam proses pembidaan tersebut.

“Kerajaan harus bersama dengan kita (FAM)…Perlu memberi jaminan keselamatan, visa, kesihatan serta kewangan, untuk membina stadium dan infrastruktur dan sebagainya, itu adalah prosedur operasi standard (SOP). Saya perlu bertemu dengan menteri dahulu, kalau betul dan serius nak teruskan, kita akan teruskan.

“Buat masa ini, saya tak nak buat apa-apa spekulasi. Sekiranya kita menganjurkan, ia bagus untuk kita kerana akan mendapat infrastruktur, stadium dan kemudahan yang baik,” katanya pada sesi santai media bersama Presiden FAM, di sini, hari ini.

Kongres FAM ke-55 pada Sabtu lalu, melantik Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal sebagai wakil badan induk itu dalam melaksanakan misi Malaysia mengetuai proses pembidaan hos bersama Piala Dunia, selepas mendapat mandat daripada ahli gabungan.

Menurut Hamidin lagi, walaupun kesemua pemimpin ASEAN bersetuju untuk membida bagi Piala Dunia 2034 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, Jun lalu, bidaan melebihi empat negara tidak realistik.

“Pada mesyuarat AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Thailand tidak berminat, tetapi kerajaan negara itu nak. Indonesia (Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia) serius, manakala Australia pun berminat.

“Saya nak ingatkan, Australia bukan dalam ASEAN, tetapi ada dalam AFF dan ia diiktiraf oleh FIFA. Jadi ada kelainan dari segi kerajaan (keanggotaan ASEAN) dan bola sepak (AFF),” katanya.

Untuk rekod, Qatar akan menjadi tuan rumah edisi 2022, manakala edisi 2026 akan dianjurkan tiga negara buat kali pertama, iaitu Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat, yang juga bakal menjadi edisi pertama melibatkan 48 pasukan, berbanding 32 pasukan pada masa kini.

Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun merupakan kali pertama kejohanan empat tahun sekali itu dianjurkan oleh dua negara.

Komen anda