Piala Dunia Qatar 2022 kekal dengan 32 pasukan

134
1200px-Qatar_2022_FIFA_World_Cup_bid_logo.svg

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung di Qatar akan kekal dengan 32 pasukan.

Ia sekali gus menolak cadangan penambahan jumlah kepada 48 pasukan seperti yang dirancang dan FIFA memerlukan tempoh lebih lama untuk mengkaji semula pertambahan jumlah pasukan itu.

FIFA dalam satu kenyataan semalam menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai masa untuk mempertimbangkan cadangan pertambahan pasukan dalam kejohanan itu akibat faktor logistik.

"Selaras dengan kata putus yang diluluskan oleh majlis tertinggi FIFA dalam mesyuarat terakhirnya, FIFA dan Qatar telah mengenal pasti semua kemungkinan untuk meningkatkan jumlah pasukan peserta dari 32 hingga 48 pasukan dengan melibatkan negara-negara jiran di Piala Dunia FIFA Qatar 2022," kata wakil FIFA.

"Susulan proses rundingan yang menyeluruh dan komprehensif dengan penglibatan semua pihak berkepentingan yang berkaitan, keputusan dibuat bahawa buat masa ini, cadangan itu tidak dapat dibuat sekarang.

"Selain itu, FIFA dan Qatar sekali lagi akan mengkaji kemungkinan Qatar menganjurkan kejohanan 48 pasukan dengan secara khususnya mengurangkan keperluan utama FIFA.

"Analisis yang dilakukan secara bersama mendapati bahawa susulan persediaan yang lebih pantas dan keperluan untuk melihat kesan logistik kepada tuan rumah, tempoh masa lebih lama diperlukan dan keputusan tidak dapat dibuat sebelum tarikh akhir Jun depan.

"Piala Dunia Qatar 2022 akan kekal dengan cadangan asal iaitu 32 pasukan dan tiada idea baru akan dikemukakan dalam Kongres FIFA seterusnya pada 5 Jun nanti." kata kenyataan itu.

Komen anda