Piala FA: Durakovic akui Perak berdepan tentangan sengit Jerantut FA

86

Foto kredit: FB Perak TBG

KETUA Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengakui skuad kendaliannya menghadapi tekanan kuat Jerantut FA sebelum mereka mampu mengatasi tuan rumah dengan jaringan 2-1 pada saingan pusingan ketiga Piala FA malam kelmarin.

 

Durakovic berkata, situasi tersebut sudah dijangkakan apabila berhadapan sebuah pasukan yang turun beraksi dengan semangat tinggi di hadapan penyokong sendiri.

 

“Kita menguasai 90 minit waktu permainan tetapi pujian harus diberikan kepada lawan kerana mereka berjaya memberikan tekanan yang hebat. Jerantut FA juga terlebih dahulu  menjaringkan gol melalui sepakan percuma yang cantik meskipun kita mempunyai banyak peluang.

 

“Apapun saya berpuas hati kerana kita akhirnya berjaya meledakkan dua gol dan paling penting mara ke pusingan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas  perlawanan.

 

Pada aksi itu, gol tunggal Jerantut FA dijaringkan oleh Muhammad Firdaus Abdul Razak pada minit kedua waktu tambahan babak pertama manakala dua gol The Boss Gaurus dihasilkan oleh pemain import, Wander Luiz Bitencourt Junior pada minit ke-75 dan 84.

 

Mehmet berkata, dua jaringan dihasilkan  Perak membuktikan perbezaan standard permainan antara pasukannya yang beraksi dalam Liga Super dan Jerantut FA yang bermain dalam Liga Divisyen Empat (Liga M4).

 

“Jerantut FA bermain tanpa perlu bimbang kehilangan apa-apa dan rata-rata pemain mereka masih masih muda dan bersemangat. Tetapi bukan mudah bersaing dengan pasukan Liga Super terutama dari aspek untuk mengekalkan standard itu sepanjang tempoh permainan,” katanya.

Sementara itu, pengendali Jerantut FA, Ahmad Nazri Md Noor berkata, pasukannya sudah memberikan yang terbaik dan akur dengan kekalahan itu. Kita sebagai sebuah pasukan amatur berhadapan dengan pasukan Liga Super yang juga juara Piala Malaysia…penjaga gol kami sudah bertindak cemerlang tetapi bolos dua gol.

 

“Kita bagaimanapun berazam untuk kembali pada tahun depan dan berharap ada pihak yang sudi memberi penajaan untuk memantapkan pasukan ini,” katanya.

Komen anda