Piala FA: Elavarasan akui sukar hentikan momentum cemerlang PKNP

85
FOTO: PDRM FA THE COPS

PENGENDALI PDRM FA, E Elavarasan mengakui agak sukar untuk pasukannya melepasi pusingan ketiga Piala FA apabila berdepan kelab Liga Super, PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam esok.

Jelasnya, itu bukan bermakna beliau sudah mengangkat bendera putih lebih awal, sebaliknya berkata demikian berdasarkan situasi semasa yang mana lawannya itu kini sedang membara apabila menang kesemua empat perlawanan berturut-turut.

Tambahnya lagi, tahap kedua-dua pasukan juga jauh berbeza yang mana itu mungkin menjadi kekurangan buat pasukannya untuk melangkah jauh.

“Kena ingat PKNP pasukan Liga Super dan PDRM hanyalah pasukan Liga Premier. Pengalaman mereka lebih besar dan mereka juga sedang dalam prestasi terbaik apabila menang beberapa perlawanan berturut-turut.

“Bukan saya mahu memperkecilkan pasukan sendiri, tetapi banyak faktor perlu diambil kira. Selain kualiti dan pengalaman, PKNP juga ada kelebihan kerana bermain di laman sendiri.

“Jadi, sebagai jurulatih yang masih baru dengan pasukan, apa yang saya pentingkan sekarang ialah mencari jalan untuk memperbaiki kedudukan dalam liga berbanding saingan piala seperti ini,” katanya.

Terdahulu, PDRM mara ke pusingan ketiga Piala FA selepas bangkit daripada ketinggalan 0-2 dengan Sarawak sebelum menang 5-2 dengan penyerang importnya, Patrick Ronaldinho Wleh mencuri tumpuan apabila meledak hatrik di separuh masa kedua.

Mengulas sama ada Ronaldinho mampu terus menyinar dalam aksi menentang PKNP ini, Elavarasan berkata agak sukar untuk penyerang tinggi lampai itu kerana dia pasti akan menjadi sasaran pemain lawan untuk dirantai kemas.

“Saya tahu perlawanan ini tidak akan mudah untuknya, tetapi saya tetap berharap dia dapat mempamerkan aksi baik sama seperti sebelum ini jika mahu membawa pasukan lebih jauh dalam kejohanan ini,” katanya lagi.

Komen anda