Piala FA: Jerantut FA serlah potensi ‘budak kampung’

115
FOTO: JERANTUT FA
Ketua Jurulatih Jerantut FA, Ahmad Nazri Mat Noor mahu aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Perak di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini menjadi medan untuk menyerlahkan potensi barisan pemainnya di peringkat lebih tinggi.
Jelasnya, menjadi pasukan Liga M4 pertama mara sejauh itu dalam saingan Piala FA perlu dimanfaatkan sepenuhnya memandangkan banyak mata akan melihat aksi ‘budak kampung’ yang sebelum ini tidak mendapat pendedahan umum di media.
“Perlawanan ini bukan sahaja menarik apabila menemukan pasukan amatur dan profesional tetapi ia juga menjadi peluang buat pemain-pemain saya menunjukkan potensi mereka.
“Bagi kami, perlawanan pusingan ketiga ini adalah medan terbaik pemain-pemain kampung untuk menarik minat kelab-kelab lain.
“Jadi saya mahu mereka bermain bersungguh-sungguh dan membuka mata mana-mana pihak jika mahu bermain bersama kelab di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Mengulas keyakinannya sama ada mampu memberi kejutan kepada juara Piala Malaysia itu, Ahmad Nazri berkata, beliau dan pasukan tidak memasang impian besar, sebaliknya menganggap pertemuan itu sebagai penghormatan besar buat dirinya dan pasukan.
“Mereka (Perak) adalah pasukan pilihan tetapi kami tidak perlu rugi apa-apa dalam perlawanan ini sama ada menang atau kalah.
“Sebagai pasukan amatur, ia sudah pasti menjadi satu penghormatan besar buat kami bertemu pasukan hebat dan saya fikir anak-anak buah saya sudah teruja mahu menentang Perak.
“Ini satu aksi yang cukup istimewa dan sudah semestinya kami mahukan kemenangan tetapi kami tidak mahu meletak harapan tinggi,” jelasnya.

Komen anda