Piala FA: PAFA belum jual tiket final lagi

70
Tajul Hasnan Omar

SHAHRIZAL AHMAD ZAINI

PERSATUAN Bolasepak Perak (PAFA) menafikan dakwaan bahawa persatuan itu sudah menjual kepada orang ramai tiket perlawanan akhir Piala FA, Perak menentang Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai ini.

Setiausaha Kehormat PAFA, Tajul Hasnan Omar berkata, maklumat penjualan tiket yang tersebar di media sosial itu adalah palsu adalah perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.

“Tidak ada sesiapa pun yang mempunyai tiket perlawanan akhir Piala FA, jika ada yang mendakwa sudah mempunyai tiket, maka orang itu cuba nak ambil kesempatan dan penyokong kena berhati-hati.

“Tiket perlawanan akhir hanya akan dijual pada 23 Julai, adalah mustahil jika ada pihak yang mendakwa sudah dapat 500 tiket ketika ini dan PAFA nasihatkan penyokong supaya dapatkan tiket melalui saluran yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan media semalam.

Tajul Hasnan berkata demikian sebagai mengulas laporan kononnya terdapat individu yang mendakwa sudah mempunyai tiket seperti yang tular dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Pada masa sama Tajul Hasnan memaklumkan pihaknya diperuntukkan 30,000 keping tiket dengan 15,000 tiket akan dijual di Stadium Perak di sini manakala 12,000 tiket akan diagihkan di seluruh daerah dan baki 3,000 tiket lagi akan dijual kepada penaja serta jabatan kerajaan yang berkaitan.

Menurutnya, PAFA akan mula menjual tiket pada 23 Julai ini bermula jam 10.30 pagi hingga 3.30 petang di kaunter tiket Stadium Perak.

“Bagi penyokong yang jauh pula, mereka boleh membelinya di Stadium Mini Parit Buntar, Pejabat Kemas Kampung Gajah dan kaunter pandu lalu Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang turut diagihkan.

“Selain itu, tiket turut boleh dibeli di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Tanjung Malim, PDT Lenggong, Dewan Jubilee Perak (Kuala Kangsar) dan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (Seri Manjung).

“Masa jualan tiket di daerah sama seperti di Stadium Perak dan lokasi ini sudah dipersetujui oleh persatuan bola sepak daerah masing-masing,” katanya.

Komen anda