Piala FA: Derbi pantai timur Tok Gajah, Penyu curi tumpuan

189

Foto: FB FML

JUARA bertahan, Pahang akan membuat perhitungan berdepan finalis Piala Malaysia 2018, Terengganu FC (TFC) pada saingan suku akhir Piala FA 2019.

 

Skuad Tok Gajah yang telah mengecapi kejuaraan Piala FA tiga kali akan bertandang ke Kuala Terengganu untuk aksi pertama sebelum melayani kunjungan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim dalam aksi kedua di Kuantan.

 

Selain pertemuan dua kelab Liga Super itu, majlis undian hari ini turut menyaksikan pertembungan adik-abang apabila PKNP FC menentang juara Piala Malaysia 2018, Perak pada aksi pertama di Manjung.

 

Juara 2017, Kedah pula dijangka tidak berdepan laluan sukar mara ke separuh akhir apabila berdepan PKNS FC di Shah Alam sementara finalis 2016, Felda United akan bertemu juara tiga kali, Kuala Lumpur di Cheras.

 

Aksi suku akhir Piala FA dijalankan secara timbal balik dengan perlawanan pertama dijadual berlangsung pada 30 April dan 1 Mei manakala aksi kedua 10 dan 11 Mei depan.

 

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui berdepan pasukan bimbingan rakan sejawatnya Irfan Bakti Abu Salim bukan tugas mudah.

 

Katanya, kelemahan barisan pemainnya dalam bertahan adalah tugas utama untuk dipertingkatkan bagi mengekang ancaman TFC.

 

“Perlawanan ini agak sukar sebab kita tahu Terengganu dibimbing Irfan antara pasukan digeruni. Sebagai juara bertahan, saya kena pastikan pasukan bersedia untuk bertemu Terengganu.

 

“Sebenarnya semua perlawanan kita bergelut tapi apa yang saya berpuas hati adalah kita sentiasa menyerang cuma kadang-kadang terleka untuk bertahan kerana sibuk menyerang. Itu kita akan pertingkatkan,” katanya ketika ditemui pada majlis undian Piala FA di sini, semalam.

Komen anda