Piala FA: Hanya dua import perkuat Selangor berdepan Felda United

367
FOTO: FA SELANGOR

TEMPANG dan terus tempang. Itulah nasib yang menimpa Selangor apabila terpaksa menerima hakikat bakal kehilangan seorang lagi tonggak importnya akibat kecederaan.

Sebelum ini, skuad Gergasi Merah terpaksa melupakan khidmat penyerang, Rufino Segovia dan pemain tengah, Endrick dos Santos yang mengalami kecederaan panjang.

Terbaharu, mereka menerima satu lagi tamparan hebat apabila tonggak pertahanan, Taylor Regan turut mengalami kecederaan terpaksa diketepikan pada aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Felda United di Stadium Shah Alam, malam esok.

Bagi Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan, berita itu memang memberikan satu tekanan kepadanya yang terpaksa merehatkan seorang demi seorang pemain.

Namun, beliau memilih bersikap optimis berharap sesiapa sahaja yang diberikan peranan dalam kesebelasan utama dapat melakukan yang terbaik.

“Kecederaan pemain bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan alasan. Kami tetap perlu menghadapi banyak perlawanan, jadi saya tidak mahu perkara seperti ini menjatuhkan moral pasukan.

“Bagi saya, inilah waktu terbaik untuk pemain gantian buktikan kepada pasukan mengapa mereka patut berada dan kekal dalam pasukan ini.

“Saya tahu situasi sekarang tidak mudah tetapi saya tetap percaya pemain tempatan yang masih ada mampu menggalas peranan dan tanggungjawab besar ini,” katanya.

Mengulas pertemuan dengan bekas kelab kendaliannya malam esok, Sathianathan menafikan ia kelebihan buat Selangor meskipun beliau mengenali dan mengetahui kekuatan yang ada pada pemain muda The Fighters.

Jelasnya, Felda United yang kini dibimbing Mohd Nidzam Jamil menerapkan corak permainan baharu dan beliau yakin pasukan itu mampu memberikan masalah besar buat pasukannya untuk mara ke suku akhir Piala FA.

“Saya melihat perlawanan mereka baru-baru ini, jelas mereka ada kualiti pada setiap posisi. Dengan kehadiran ramai pemain muda yang bagus, saya tahu mereka akan menyukarkan kami,” katanya.

Komen anda