Piala FA: Semut Merah singkirkan Harimau Selatan di Larkin

2210
Pemain JDT, Safawi Rasid diasak pemain PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie pada perlawanan Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin hari ini.

PKNS FC mencipta kejutan tersendiri pada saingan pusingan ketiga Piala FA apabila menewaskan pasukan pilihan Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam ini.

Kerancakan tuan rumah yang bermula garang pada babak pertama dengan deretan serangan tersentak apabila Kiko Insa dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain Semut Merah, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali pada minit ke-10.

Namun kekurangan seorang pemain tidak langsung menjejaskan jentera Harimau Selatan, sebaliknya terus mengasak dan berpeluang merobek gawang pelawat, namun kecekapan penjaga gawang lawan, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin banyak menafikan hajat tuan rumah.

Bersambung babak kedua pelawat menyusun rentak dan hasilnya pada minit ke-49, Kpah Sherman mencipta nama sebagai penjaring apabila menyudahkan hantaran Gabriel Guerra bagi menewaskan penjaga gol Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan walaupun Harimau Selatan berjaya mencipta peluang menjaringkan gol penyamaan, namun beberapa deretan peluang gagal diterjemahkan dapat bentuk jaringan gol.


Pemain Pahang, Jose Eduardo Bischofe De Almeida melakukan cubaan ke gawang UKM FC.

Sementara itu, juara bertahan, Pahang menempuh laluan sukar sebelum mara selepas menjinakkan kelab Liga Premier, UKM FC 1-0 di Cheras, hasil jaringan Matthew Davies pada minit ke-84.

Aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pula menyaksikan Perak berdepan tentangan sengit Jerantut FA sebelum pemain import dari Brazil, Wander Luiz meledak dua gol untuk kemenangan 2-1.

Luiz muncul wira The Bos Gaurus apabila meledak dua gol pada minit ke-75 dan minit ke-85 untuk memadamkan gol pembukaan tuan rumah, Muhammad Firdaus Abd Razak pada minit ke-45.


Wander Luiz meraikan gol kemenangan Perak ketika menentang Jerantut FA di Jengka, malam ini.

Sementara aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, PKNP FC bangkit daripada ketinggalan bagi menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 3-2.

Yashir Islame terlebih dahulu meletakkan skuad kendalian Abu Bakar Fadzim di depan pada minit ke-16 sebelum PDRM mendahului 2-1 menerusi Patrik Wleh (23′) dan Muhammad Fauzan Mohd Fauzi (46′).

Namun pelawat kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohd Fazrul Hazli Kadri minit ke-74 sebelum Hafiz Ramdan memastikan kemaraan kelab konglomerat dengan gol pada minit ke-88.

Komen anda