Piala FA: Tiga elemen bantu TFC ke suku akhir

200
Mohd gembira pemainnya terap tiga elemen penting ketika TFC menewaskan Kelantan United FC 3-1 pada pertemuan pusingan ketiga Piala FA di Kota Bharu, malam kelmarin.

RIFQIE RUZAIEN

PENOLONG Jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd Nik memuji sikap positif ditunjukkan pemainnya sehingga berjaya menewaskan Kelantan United FC 3-1 sekali gus mara ke suku akhir kempen Piala FA, musim ini.

Mohd berkata, anak didiknya telah diingatkan tiga elemen penting yang perlu dipraktikkan sekiranya tidak mahu dipalit kekalahan ketiga, pada aksi kalah mati di Kota Bharu itu.

“Sebelum perlawanan, saya beritahu pemain bahawa mereka perlu ada tiga perkara iaitu pertama, motivasi tinggi jika mahu menang dan kedua, jangan sia-siakan peluang.

“Ketiga, kena ada suntikan moral yang tinggi. Alhamdulillah walaupun ketinggalan tetapi pemain saya bangkit dengan tiga jaringan dan kalau lihat peluang dalam babak kedua, kita sepatutnya boleh jaringkan lebih banyak lagi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Mohd yang menjalankan tugas sementara membimbing pasukan ekoran ketiadaan Irfan Bakri Abu Salim, turut memuji kesungguhan dipamerkan pemain Kelantan United sehingga menyaksikan mereka ketinggalan 0-1, pada separuh masa pertama.

“Sebelum (layak) ke suku akhir, saya beritahu pemain pertemuan malam ini (tadi), Kelantan United adalah pasukan yang tidak rugi apa-apa. Kalah pun tak apa, memang satu bonus bagi mereka.

“Kenapa saya cakap macam itu ? Sebab Kelantan United memiliki semangat tinggi dan ia dibuktikan bila mereka mengalahkan Sabah (pusingan kedua) baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas kejayaan Tchetche Kipre yang berjaya menamatkan kemarau jaringan dalam sembilan perlawanan terdahulu, Mohd memberitahu, prestasi penyerang import Ivory Coast itu belum memuaskan dan perlu dipertingkatkan.

“Kipre seorang pemain yang bagus, dia sentiasa mencuba malah dalam aksi sebelum ini pun dia telah mencuba tapi masih gagal. Malam ini (tadi) rezeki dia tapi secara keseluruhan prestasinya masih sederhana dibandingkan musim lalu.

“Apa pun, kemenangan ini adalah titik kebangkitan pasukan dan saya harap pemain lupakan kekalahan sebelum ini untuk mereka kembali fokus perlawanan liga bertemu Felda United, nanti,” katanya.

Komen anda