Piala Malaysia: Harimau Selatan hampiri slot suku akhir

73

JUARA Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah hampir pasti ke suku akhir Piala Malaysia selepas membelasah PKNP FC 5-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

 

Harimau Selatan itu berjaya membuka jaringan seawal minit ke-13 menerusi tandukan pemain import dari Brazil, Mauricio Santos, sebelum pemain import dari Argentina, Gonzalo Cabrera menggandakan jaringan pada minit ke-31.

 

Selang lima minit kemudian, duka pasukan pelawat bertambah apabila Muhammad Safawi Rasid yang dijatuhkan dalam kotak penalti, menyempurnakan sepakan penalti.

 

Juara edisi 2017 itu, kemudian mengesahkan kemenangan bergaya menerusi jaringan penalti pemain import dari Brazil, Diogo Luis Santo pada minit ke-49 selepas beliau dijatuhkan penjaga gol PKNP, Shafiq Afifi Suhaimi dalam kotak penalti dan jaringan Muhammad Safawi pada minit ke-61.

 

Ia juga merupakan balas dendam buat JDT apabila PKNP FC berjaya bangkit dari ketinggalan 0-2 untuk mengikat pasukan itu 2-2 pada aksi sebelum ini di Manjung, Perak, Jumaat lepas.

 

JDT kini mendahului Kumpulan B dengan 10 mata selepas empat perlawanan, diikuti Petaling Jaya City FC dengan enam mata dari tiga perlawanan, PKNP FC yang meraih empat mata dari empat perlawanan dan UiTM FC di tangga tercorot tanpa sebarang mata dalam tiga aksi.

 

Sementara itu, dalam aksi Kumpulan A, naib juara 2018, Terengganu FC gagal menempah tiket awal ke suku akhir apabila tewas 3-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

 

Tuan rumah yang bertekad untuk meraih kemenangan pertama selepas tewas dalam ketiga-tiga aksi sebelum ini, bermula garang dengan jaringan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir pada minit kedua, sebelum menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti pemain import dari Brazil, Jose Almir Barros Neto tiga minit kemudian.

 

Skuad Penyu cuba bangkit dengan merapatkan jurang menerusi jaringan sepakan penalti Lee Andrew Tuck pada minit ke-36.

 

Bermula pada babak kedua, Negeri Sembilan berjaya mendapatkan satu lagi jaringan menerusi Igor Carneiro Luiz pada minit ke-65, sebelum Serhii Andrieiev mengurangkan defisit pada masa tambahan.

 

Selepas empat perlawanan, Terengganu FC berada di tempat teratas dengan sembilan mata, diikuti oleh Kedah (7) PKNS FC (4) dan tiga mata oleh Negeri Sembilan.

Komen anda