Piala Malaysia: Kebangkitan luar biasa Lang Merah jinakkan Red Ants di Alor Setar

246
Kapten Kedah Baddrol Bakhtiar (kanan) cuba melepasi pertahanan PKNS FC pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman hari ini.

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR

KEDAH mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila menewaskan PKNS FC 3-2 pada saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Tampil dengan misi tiga mata Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar terlebih dulu berpeluang meletakkan Lang Merah di hadapan pada minit ke-17, namun tandukannya sedikit tersasar melepasi palang pintu gol PKNS .

Tuan rumah terus mengasak selepas itu berhasil menjaringkan gol menerusi tandukan Renan Alves, namun dibatalkan pengadil, Zulkarnain Zakaria selepas pertahanan Kedah itu mengkasari pemain lawan pada minit ke-26.

Asakan tuan rumah tidak mematikan rentak The Red Ants apabila skuad skuad kendalian Datuk K Rajagopal terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-29 hasil percubaan Romel Ramirez yang terbias masuk ke gawang gol Kedah selepas terkena kaki Renan yang cuba menghadang untuk kedudukan 1-0.

Gol penyamaan yang jadi buruan Lang Merah akhirnya muncul pada minit ke-49 menerusi Jonathan Bauman yang menolak bola ke gawang PKNS selepas sepakan percuma Edgar Bernhardt terkena palang.

Namun Red Ants tidak berputus asa kembali di hadapan 2-1 pada minit ke-69 menerusi pertahanannya, Nicholas Ryan Swirad yang mudah menanduk masuk selepas menerima hantaran sepakan sudut dari Akram Mahinan.

Terkejut jaringan pelawat, tuan rumah berusaha bangkit berjaya menyamakan kedudukan sekali lagi menerusi tandukan Bauman yang menerima hantaran Baddrol pada minit ke-83 untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Pemain tuan rumah Mohd Alif Mohd Yusof akhirnya melengkapkan kebangkitan Kedah apabila memanfaatkan hantaran Bauman pada minit ke-90 untuk menjadikan kedudukan 3-2 seterusnya tiga mata Lang Merah.

Komen anda