Piala Malaysia: PDRM masih ada peluang mara suku akhir

40

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) kembali membuka peluang memburu slot suku akhir Piala Malaysia apabila berjaya mengikat Selangor 2-2 di Stadium Hang Jebat malam kelmarin.

Pengendalinya, E Elavarasan mengakui kejayaan itu sedikit sebanyak memberi suntikan semangat buat anak-anak buahnya dalam mengharungi baki dua lagi perlawanan bertemu Felda United dan Melaka United bulan depan.

“Jika kita menang pada perlawanan ini (menentang Selangor), perjalanan The Cops ke pusingan kedua nampak lebih bagus tetapi keputusan seri ini menjadikan peluang masih terbuka.

“Jadi tiga pasukan dalam Kumpulan D termasuk Melaka United dan Selangor masih ada peluang. Mana-mana pasukan yang menang dalam aksi akan datang dapat mengukuhkan kedudukan mereka,” katanya.

The Cops terlebih dulu mengejutkan The Red Giants menerusi jaringan Uche Agba pada minit ke-28 sebelum Taylor Regan menyumbat gol penyamaan buat Selangor pada minit ke-68.

Sepuluh minit sebelum tamat perlawanan, Ifedayo Omosuyi meletakkan Selangor di depan, namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila pemain import PDRM, Lee Chang Hoon menyamakan kedudukan pada minit ke-87.

Komen anda