Piala Malaysia: Peluang Fighters belum tertutup

80
Foto: FB FELDA UNITED FC

PENYERANG Felda United, Mohamad Khairul Amri Mohamad Kamal percaya peluang The Fighters untuk lolos suku akhir Piala Malaysia masih belum tertutup walaupun kelab itu kini terperosok tangga tercorot Kumpulan D dengan satu mata selepas tiga perlawanan.

“Perjuangan Felda United sukar tetapi saya tetap percaya bahawa peluang untuk mara ke peringkat seterusnya masih belum tertutup dengan syarat kami tidak boleh tercicir mata lagi selepas ini.

“Kami akan berusaha habis-habisan untuk mendapatkan kedudukan lebih baik seterusnya mendapatkan slot suku akhir Piala Malaysia,” katanya yang sudah meledak empat gol sepanjang kempen Piala Malaysia setakat ini dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Dalam pada itu, pemain berusia 34 tahun itu berharap lebih ramai pemain negara itu memilih untuk beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang boleh disifatkan antara liga terbaik di Asia Tenggara.

Penyerang Singapura itu mendedahkan, pemain dari seberang tambak mampu bersaing dengan pemain import lain memandangkan mereka turut berusaha mempamerkan prestasi terbaik apabila diberi peluang menyarung jersi sesebuah pasukan.

“Selain itu, ia juga satu keuntungan buat pasukan Liga Malaysia menambat pemain Singapura, kerana secara tidak langsung mereka juga dapat mengumpul peminat di sana dalam proses mengembangkan kelompok penyokong,” jelasnya.

Saingan Liga-M bukanlah asing bagi Mohamad Khairul Amri yang pernah mewakili kelab LionsXII dari Singapura, dalam saingan Liga Super pada 2012, 2014 dan 2015, sebelum kelab berkenaan dibubarkan pada penghujung musim 2015.

Beliau turut membantu pasukan berkenaan meraih Piala FA pada 2015 selepas menewaskan Kelantan 3-1 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Untuk rekod, beberapa pemain Singapura sedang beraksi dalam Liga-M, seperti Hariss Harun yang bersama Johor Darul Ta’zim, dan Safuwan Baharudin yang beraksi bersama Pahang.

Komen anda