Piala Negara-Negara Afrika: Gol awal bikin Senegal ‘lemas’

84

GAGAL bangkit selepas Algeria menjaringkan gol awal menjadi punca utama Senegal gagal memastikan Piala Negara-Negara Afrika menjadi milik mereka.

Perkara itu diakui pengendali Senegal, Aliou Cisse selepas pasukannya terpaksa akur tewas tipis 0-1 di tangan Algeria pada aksi final di Stadium Antarabangsa Kaherah, Mesir awal pagi semalam.

“Pemain-pemain tidak memanfaatkan peluang yang mereka miliki. Kami juga tidak berusaha untuk bangkit selepas ketinggalan. Kami mencipta peluang tetapi tidak menjaringkan gol.

“Apabila telah bolos pada awal perlawanan, perancangan kami jelas untuk cuba agresif di atas padang dan mencari gol. Bagaimanapun, kami gagal mencari caranya,” katanya.

Untuk rekod, ini kali kedua Senegal sekadar muncul naib juara selepas melakukannya di Mali pada edisi 2002.

Senegal yang turun selaku pasukan pilihan gagal beraksi cemerlang selepas tonggak pertahanannya, Kalidou Koulibaly digantung perlawanan manakala bintang Liverpool, Sadio Mane bergelut mencari rentak bagi menembusi pertahanan kental Algeria.

Pada masa sama, Cisse turut memuji corak persembahan yang dipamerkan Algeria yang dianggapnya tahu menggunakan kelemahan barisan pemainnya.

“Sudah 17 tahun sejak kali terakhir Senegal layak ke final Piala Negara-Negara Afrika tetapi kami akhirnya pulang dengan kekecewaan,” katanya yang menjadi kapten ketika Senegal tewas pada aksi final Piala Negara-Negara Afrika 2002 itu.

Komen anda