Piala Negara-Negara Afrika: Kejayaan bermakna buat Algeria

137

PENGENDALI Algeria, Djamel Belmadi menganggap kejayaan muncul juara Piala Negara-Negara Afrika selepas menundukkan Senegal 1-0 pada aksi final awal pagi semalam sebagai detik luar biasa.

Menurutnya, Algeria sebelum ini menempuh perjalanan cukup panjang untuk mengakhiri penantian menjulang trofi tersebut selepas kali terakhir berbuat demikian ketika menjadi tuan rumah pada 1990.

Malah, beliau cukup berbangga dengan semangat dan disiplin yang ditunjukkan barisan pemainnya sepanjang kejohanan itu berlangsung dan tidak hilang fokus sehingga aksi final.

“Ia luar biasa dan sangat bersejarah. Ini kejuaraan pertama Piala Negara-Negara Afrika yang kami menangi di luar negara. Sejak 1990… ia suatu perjalanan panjang dan kosong.

“Kredit perlu diberikan kepada para pemain yang melaksanakan tugas dengan baik dan berjaya memastikan piala ini kembali ke bumi Algeria lagi,” katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Kaherah, Mesir, gol tunggal minit kedua jaringan Baghdad Bounedjah sudah cukup membolehkan The Desert Foxes menjulang trofi tersebut selepas menunggu selama 29 tahun.

Gol Bounedjah itu terhasil selepas rembatannya dari luar kotak penalti terkena kaki pemain Senegal sebelum melambung tinggi menewaskan penjaga gol, Alfred Gomis.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Belamdi percaya skuad kendaliannya itu layak dinobatkan selaku juara walaupun hanya sekadar meraih kemenangan tipis.

“Kami sebuah negara bola sepak. Saya fikir kami layak memenanginya. Ia satu perlawanan yang amat rumit dan sukar. Saya juga sedar sejak awal lagi bahawa kami hanya akan menang tipis dalam perlawanan ini.

“Bagaimanapun, kami mempamerkan corak bertahan dan mengawal bola dengan baik sepanjang perlawanan. Jadi kami wajar menang. Pemain-pemain telah melakukannya dengan baik,” katanya.

Komen anda