Piala Presiden, Piala Belia: Keputusan tolak penyertaan Singa Utara kekal

192
YUSOFF MAHADI

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengekalkan keputusan mereka untuk tidak membenarkan Perlis beraksi pada kempen Piala Presiden (Bawah 21) dan Piala Belia (Bawah 19) pada musim ini setelah mengambil kira beberapa faktor.

 

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd  Yusoff Mahadi, dalam satu kenyataan  berkata, Perlis gagal atau enggan untuk menyempurnakan pendaftaran minimum pemain dan pegawai sehingga ke tarikh tutup pendaftaran asal iaitu pada 15 Februari lalu,

 

Beliau memaklumkan Perlis turut gagal menyempurnakan pendaftaran minimum pemain dan pegawai walaupun kesemua pasukan telah diberikan tempoh lanjutan (tarikh baharu tutup pendaftaran pertama) iaitu pada 22 Februari lalu.

 

“Perlis gagal menyediakan perlindungan insurans kepada pemain dan pegawai selain gagal mengemukakan Sijil Perpindahan (SPN) bagi pemain,” kata Mohd Yusoff yang juga Pengerusi Jawatankuasa PertandinganTempatan (JKPT) FAM dalam satu kenyataan media kelmarin.

 

Beliau berkata, Perlis telah beberapa kali memohon untuk diberikan tempoh lanjutan pendaftaran tetapi JKPT FAM berpendapat bahawa ia tidak seharusnya berlaku kerana pasukan- pasukan lain boleh menghormati atau mematuhi tarikh akhir yang ditetapkan tanpa sebarang isu.

 

“JKPT telah pun memberikan tempoh lanjutan pendaftaran kepada semua pasukan dan seringkali memberi peringatan melalui Unit Pertandingan FAM kepada semua pasukan untuk mematuhi tarikh akhir yang telah ditetapkan.

 

“Tindakan Perlis ini jelas menunjukkan bahawa mereka masih lagi belum bersedia untuk mengambil bahagian dalam kedua-dua pertandingan ini dan sekiranya dibenarkan untuk kekal, ia boleh mendatangkanmasalah kepada pasukan lain dan pada masa sama memudaratkan  pertandingan itu sendiri,” jelas Mohd Yusoff.

 

Beliau, bagaimanapun, berkata, FAM bersetuju memberi kelonggaran kepada pemain dan pegawai Perlis untuk didaftarkan bermain dan berkhidmat  bersama pasukan lain dalam Piala Presiden dan Piala Belia 2019 walaupun tarikh pendaftaran asal dan lanjutan telah pun berakhir.

 

Justeru, skuad Piala Presiden dan Piala Belia 2019 yang masih mempunyai kekosongan dalam pasukan (tiada penambahan terhadap jumlah asal maksimum pendaftaran yang telah ditetapkan) adalah dibenarkan membuat pendaftaran pemain dan pegawai baharu terhad kepada bekas pemain dan pegawai Perlis bagi Piala Presiden dan Piala Belia 2019 sahaja, katanya.

 

Beliau memaklumkan jumlah pemain yang boleh didaftarkan adalah 20 sehingga 33 pemain berumur 19 tahun dan ke bawah bagi saingan Piala Belia dan jumlah sama (22 sehingga 33 pemain) berumur 21 tahun dan ke bawah bagi Piala Presiden.

 

Pendaftaran pemain dan pegawai kedua-dua pertandingan berkenaan akan bermula Isnin hingga Khamis depan.

 

Keputusan berkenaan dicapai pada mesyuarat JKPT FAM kali keempat bagi penggal 2017-2021 di WismaFAM, Kelana Jaya, kelmarin.

Komen anda