Piala Sudirman 2019: Jangan gentar status Jepun

336

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY

LEGENDA badminton negara, Rashid Sidek menyifatkan tidak mustahil untuk pasukan badminton negara melakukan kejutan dalam saingan suku akhir Piala Sudirman 2019 menentang Jepun di Nanning, China, hari ini.

Namun, Rashid mengakui ia tugas sukar memandangkan Jepun memiliki pasukan seimbang selain pemain negara Matahari Terbit mempunyai ranking lebih baik berbanding pasukan negara.

“Atas kertas memang jelas ketara Jepun amat kuat. Namun, dalam sesuatu perlawanan penting sebegini kita tidak boleh jangka. Kalau pemain negara berada pada prestasi terbaik, mungkin kita boleh melakukan kejutan ke atas Jepun. Kadang-kadang dalam badminton ini pilihan pertama pun boleh kalah.

“Selagi pemain terus fokus, bermain dengan semangat berpasukan dan memberikan yang terbaik, saya yakin kita boleh layak ke saingan separuh akhir walaupun kita bukan pasukan pilihan,” katanya.

Menurutnya, skuad badminton negara mungkin boleh mengharapkan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan juga beregu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk mencuri dua mata daripada Jepun.

“Saya lihat dua beregu ini tidak boleh kalah memandangkan Aaron dan Wooi Yik pernah menjadi naib juara ketika All England baru-baru ini selain gandingan beregu campuran yang dilihat mampu memberikan saingan. Kita juga perlu mengharapkan perseorangan lelaki, wanita dan beregu wanita mencipta ‘upset’ dalam perlawanan itu.

“Jangan terlalu hiraukan dengan status Jepun itu, sebaliknya pemain kena berikan segalanya dan bermain bermatian untuk negara,” katanya.

Sementara itu, kapten pasukan negara, Goh Soon Huat berkata, pemain negara sudah bersedia mental dan fizikal selain menyeru rakan-rakan supaya tidak takut dengan status yang dimiliiki Jepun.

“Sebagai kapten pasukan saya menggesa rakan sepasukan masuk ke gelanggang dengan penuh keyakinan dan tidak takut dengan lawan.

“Kami tahu di belakang kami jutaan rakyat Malaysia yang menyokong dan kami tidak akan mensia-siakan harapan mereka,” katanya.

Komen anda