Piala Sudirman 2019: Malaysia kembali ‘bernyawa’

232
ZURAIMEE ZAINAL
ATAS kertas, skuad badminton negara sudah berada ‘sebelah kaki’ di pentas suku akhir Piala Sudirman 2019 selepas melakar kemenangan 3-2 ke atas India dalam aksi kedua Kumpulan D di Nanning, China hari ini.
Begitupun, Malaysia tetap perlu menunggu keputusan pertemuan antara juara 10 kali, China dan India esok bagi mengetahui nasib mereka sama ada layak ke pusingan kalah mati atau sebaliknya.
China yang sekali lagi diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai edisi kali ini dijangka tidak berdepan masalah untuk membenam India.
Namun, jika India mampu melakukan kejutan, Malaysia sudah boleh melupakan aksi suku akhir.
Pada aksi pembukaan Ahad lalu, Malaysia yang tidak diletakkan sebarang sasaran pada kejohanan yang menyediakan kutipan mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 kecundang 0-5 kepada China.
Menyedari hanya kemenangan ke atas India yang mampu mencerahkan kembali peluang mara ke suku akhir, Malaysia bagaimanapun terlebih dulu ketinggalan apabila pemain beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas 21-16, 17-21, 22-24 kepada Satwsiksairaj Rankireddy- Ashwini Ponnappa dalam aksi yang berlangsung satu jam 10 minit.
Namun, semangat kem Malaysia kembali membara apabila pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia bangkit menyamakan kedudukan selepas menewaskan Sameer Verma 21-13, 21-15 dalam aksi selama 48 minit.
Begitupun, kebangkitan berterusan yang diharapkan gagal menjelma apabila pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei tumbang di tangan Pusarla V Sindhu 12-21, 8-21 dalam masa 35 minit.
Kekalahan Jin Wei itu ternyata menyentap seketika semangat kem Malaysia, namun gandingan beregu lelaki negara Aaron Chia-Teo Ee Yi kembali menyalakan impian apabila melakar kemenangan 22-20, 21-19 ke atas Manu Attri-B Sumeeth Reddy bagi mengikat kedudukan 2-2.
Kemenangan dilakar ‘beregu pecahan’ itu membarakan lagi api perjuangan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean untuk meraih kemenangan 21-11, 21-19 ke atas Ashwini Ponnappa-Reddy N Sikki seterusnya mengesahkan kemenangan 3-2 Malaysia ke atas India.
Kejayaan itu juga sekali gus menyaksikan Malaysia berjaya membalas dendam ke atas India selepas kekalahan di tangan lawan sama pada saingan final Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia bagi acara berpasukan campuran.
Ketika itu, Malaysia terpaksa akur tewas 1-3 kepada India – kegagalan kali pertama Malaysia meraih emas acara berpasukan campuran sejak temasya Komanwel di Melbourne pada 2006.

Komen anda