Piala Sudirman 2019: Skuad muda negara pamer kematangan

351

Foto: FB BAM

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sudah boleh menarik nafas lega dengan komitmen yang ditunjukkan oleh barisan pemain muda di Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2019.

Walaupun perjuangan Goh Soon Huat selaku kapten pasukan dan rakan-rakannya ternoktah di suku akhir, namun prestasi dan kematangan yang ditonjolkan menunjukkan peningkatan.

Malah, mereka dilihat sudah mampu untuk memikul tanggungjawab lebih besar di pentas yang lebih mencabar pada masa depan.

Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann berkata, secara keseluruhan, pada penampilan kali ini para pemain telah mempamerkan fokus dan komitmen yang tinggi dalam setiap perlawanan yang dilalui mereka pada kempen Piala Sudirman di Nanning, China.

“Inilah jenis komitmen dan semangat juang yang kita hendak daripada pemain muda. Supaya mereka memahami bahawa dalam pertandingan besar seperti Piala Sudirman ini, pemain harus belajar memikul tanggungjawab dan harapan yang disandarkan kepada mereka oleh rakan-rakan, diri sendiri dan juga negara.

“Selain itu, pada kejohanan kali ini, kita juga dapat lihat usaha-usaha gigih yang dilakukan oleh jurulatih dan pemain sendiri telah membuahkan hasil. Pemain juga perlu memahami bahawa dengan usaha-usaha yang dilakukan akan nampak kejayaan akhirnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada perlawanan suku akhir hari ini, skuad badminton negara tewas 0-3 kepada pilihan kedua, Jepun.

Beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang turun dalam aksi pertama gagal menyumbang mata awal buat negara meskipun telah menampilkan aksi memberangsangkan dengan mengheret permainan ke set penentuan.

Berikutan kecederaan yang dagu yang dialami Ee Yi selepas terkena kasut rakannya ketika mereka sama-sama berusaha menyelamatkan serangan lawan, sedikit menjejaskan rentak permainan yang pada ketika itu terikat 19-19 di set penentuan.

Bagaimanapun pemain negara akhirnya terpaksa akur kepada gandingan nombor dua dunia, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dengan 21-13, 24-26, 21-23.

Mengenai kecederaan Ee Yi, Choong Hann berkata pemain beregu lelaki negara itu telah menjalani rawatan dan kecederaan itu tidak serius.

“Ia adalah isu kecil. Ee Yi telah menerima rawatan dan luka telah dijahit,” katanya.

Wakil kedua negara, Soniia Cheah selaku perseorangan wanita turut gagal memberikan saingan kepada pemain nombor dua dunia, Nozomi Okuhara sebelum tewas 16-21, 13-21.

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia membuktikan dia sekurang-kurangnya mampu menyaingi pemain kelompok utama dunia apabila memberi cabaran kepada Kento Momota sebelum tunduk 18-21, 16-21.

Kekalahan menyaksikan skuad negara sekadar mengulangi pencapaian dua tahun lalu di Gold Coast, Australia apabila turut mara ke suku akhir sebelum tewas di tangan Jepun 1-3

Komen anda