Piala Sudirman: Jin Wei janji saingan sengit

72

KEMERIAHAN sorakan, sokongan dan kata-kata semangat daripada rakan sepasukan menjadi tarikan kepada pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei ketika menyertai acara berpasukan.

Pemain berusia 19 tahun itu amat teruja jika beraksi dalam acara berpasukan yang dapat membentuk semangat sepasukan tinggi berbanding ketika bertanding secara individu.

Beliau berkata, dengan semangat sepasukan itu, ia dapat menaikkan semangat seseorang pemain yang sedang berdepan lawan sukar semata-mata untuk mendapatkan mata bermakna buat pasukan.

”Saya suka acara berpasukan sebab ia sangat menarik. Saya suka semangat berpasukan dalam acara berpasukan apabila semua rakan sepasukan bersorak antara satu sama lain dan lebih bermotivasi daripada biasa (kejohanan terbuka) apabila kita perlu bertarung sendiri,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, semalam.

Jin Wei akan menyertai pasukan negara ke kejohanan badminton berpasukan campuran Piala Sudirman di Nanning, China pada 19 hingga 26 Mei ini.

Pemain yang kembali menjalani latihan selepas berehat selama enam minggu ekoran kecederaan dan masalah kesihatan kini mempersiapkan diri bagi berdepan lawan sukar dari India dan China dalam saingan Kumpulan D.

“Keadaan saya sekarang baik dan saya harap apabila sampai masa sebenar, akan meningkat ke tahap lebih bagus,” katanya.

Mengenai saingannya dari India dan China yang terdiri daripada pemain di ranking 10 terbaik dunia, Jin Wei berkata, beliau akan cuba memberikan saingan sengit.

Ditanya kemungkinan beliau tidak diturunkan pada hari pertandingan, juara dunia dua kali itu berkata beliau tidak akan menyalahkan sesiapa kerana tidak diberi peluang beraksi sekiranya kondisinya belum di tahap baik.

“Sekiranya keadaan saya tidak begitu baik, saya tidak menyalahkan kerana kita perlu menurunkan pemain terbaik pada hari itu. Keutamaan kami adalah untuk negara ini. Saya tidak boleh menyalahkan sesiapa,” katanya.

Selain Jin Wei, turut tersenarai dalam skuad negara dalam acara perseorangan wanita ke Piala Sudirman ialah Soniia Cheah.

Komen anda