Piala Sudirman: Mei Kuan dedah ‘rahsia’ tewaskan India

136

 

KERJASAMA sebagai satu pasukan menjadi faktor utama yang membawa kepada kejayaan skuad badminton negara menewaskan India di kejohanan Piala Sudirman 2019, sekali gus mencerahkan peluang negara mara ke suku akhir.

 

Penolong kapten skuad badminton negara, Chow Mei Kuan berkata mentaliti positif seluruh pasukan, selain usaha keras menjadi kunci kejayaan pemain negara.

 

“Kami tidak banyak berfikir sebelum perlawanan memandangkan kami telah bersedia untuk beraksi menentang India.

 

“Kami tahu aksi ini sangat penting kerana ia akan menjadi penentu nasib kami. Tetapi kami ada satu keyakinan bahawa jika kami memberikan usaha lebih, kami akan mendapat hasil yang positif,” katanya.

 

Mei Kuan turut merakamkan rasa bangganya kepada seluruh pasukan yang tidak putus asa untuk bangkit daripada ketinggalan 1-2 sebelum menang 3-2 di set terakhir

 

“Saya gembira dengan bangga dengan seluruh pasukan yang memberikan aksi terbaik dalam aksi ini. Mereka beraksi dengan semangat juang tinggi dan tidak putus2 memberi sokongan kepada satu sama lain.

 

“Walauoun india beraksi cemerlang, kami tetap percaya kepada diri sendiri dan rakan sepasukan. Kami menang sebagai satu pasukan dan kalah sebagai satu pasukan,” ujarnya.

 

Dalam aksi di Nanning, China itu, skuad badminton negara terlebih dahulu tewas pada aksi pertama apabila beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas kepada Satwsiksairaj Rankireddy- Ashwini Ponnappa 21-16, 17-21, 22-24.

 

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia bagaimanapun mengikat keputusan menjadi 1-1 apabila menewaskan Sameer Verma 21-13, 21-15.

 

Malaysia sekali lagi ketinggalan apabila perseorangan wanita, Goh Jin Wei terpaksa akur tewas di tangan pemain nombor lima dunia, P V Sindhu 12-21, 18-21, namun gandingan pecahan beregu lelaki, Aaron Chia-Teo Ee Yi sekali lagi mengikat kedudukan dengan menumbangkan Manu Attri-B Sumeeth Reddy 22-20.

 

Mata kemenangan negara akhirnya disumbangkan menerusi beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean di set penentuan selepas menang ke atas Ashwini Ponnappa-Reddy N Sikki 21-11, 21-19.

 

 

Komen anda