Piala Sultan Azlan Shah: India kekal rekod tanpa kalah

645
Pemain Poland, Hulboj Mateusz (tengah) dikawal dua pemain India pada saingan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Azlan Shah, hari ini.

INDIA tidak mengambil mudah perlawanan pelengkap jadual pusingan awal apabila membelasah Poland 10-0 pada saingan Piala Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini walaupun akan membuat perhitungan dengan Korea Selatan di pentas final esok.

Kemenangan itu membolehkan pasukan bimbingan David John mengekalkan rekod tanpa kalah, sekali gus mengungguli carta dengan 13 mata serta 24 jaringan dalam lima perlawanan pusingan awal..

India membuktikan statusnya sebagai pasukan ranking kelima dunia apabila merobek gawang Poland seawal minit pertama menerusi jaringan padang oleh Vivek Prasad.

Dalam perlawanan di Stadium Azlan Shah di sini, India menguasai perlawanan dengan sepenuhnya apabila mendahului 6-0 pada separuh masa menerusi jaringan Sumit Kumar, Varun Kumar dan Simranjeet Singh menjaringkan lima lagi gol pada minit ke 7, 18, 19, 25 dan 29 menerusi gol padang dan pukulan sudut penalti.

Pada suku ketiga perlawanan, India terus menghukum pertahanan pasukan Poland dengan menambah empat lagi gol menerusi Nilakanta Sharma pada minit ke-36, Mandeep Singh pada minit ke-50 serta 51 hasil gol padang dan Amit Rohindas pada minit ke-55 menerusi pukulan sudut penalti.


Pemain Korea, Hwang Taeil (kanan) mengejar bola ketika bertemu Jepun pada saingan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Azlan Shah, hari ini.

Sementara itu, Korea Selatan mengekalkan kedudukan tangga kedua selepas mengalahkan Jepun 4-2.

Pada minit ke-19, Jepun berada di hadapan selepas Kazuma Murata meledakkan gol padang menewaskan penjaga gawang lawan, Kim Jaehyeon.

Selang seminit kemudian, Korea menyamakan kedudukan menerusi pakar pukulan sudut penalti, Jang Jonghyun sebelum kapten pasukan Lee Namyong menjaringkan kedua menerusi gol padang pada minit ke-28.

Bangkit dari ketinggalan 1-2, skuad bimbingan Siegfried menyamakan kedudukan setelah Kazuma menjaringkan gol kedua Jepun menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-42.

Lima belas minit sebelum perlawanan tamat, Jepun melipatgandakan asakan, namun kealpaan benteng pertahanan Jepun membolehkan Korea menambah dua gol menerusi Jang dan Cho Sukhoon pada minit ke 57 dan 58 masing-masing hasil pukulan sudut penalti dan gol padang. – Bernama

Komen anda