Piala Sultan Azlan Shah: Malaysian Tigers baham Poland

1594

Foto & Infografik: MHC

MALAYSIAN Tigers membuka kempen Piala Sultan Azan Shah dengan persembahan meyakinkan apabila mengalahkan Poland 5-1 pada perlawanan pembuka tirai kejohanan tahunan berprestij itu di Stadium Azlan Shah, di sini, malam ini.

 

Lebih menceriakan, penyerang sensasi negara, Faizal Saari beraksi dengan cemerlang apabila berjaya meledak jaringan hatrik sekali gus membantu skuad Malaysian Tigers meraih kemenangan besar berkenaan.

 

Beraksi di hadapan kira-kira 3,000 penyokong, Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia ketika ini bermula garang apabila berjaya mendahului lawan menerusi jaringan Faizal pada minit ke-20 menerusi pukulan sudut penalti.

 

Kesungguhan skuad kebangsaan memenangi perlawanan pertama kejohanan itu terserlah apabila adiknya, Fitri menjarakkan kedudukan pada minit ke-28 menerusi gol padang.

 

Faizal sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah apabila menyumbat gol ketiga Malaysia pada minit ke-30 hasil pukulan sudut penalti.

 

Poland, selaku pasukan ranking ke-21 dunia, bagaimanapun,  enggan membenarkan Malaysia berada di kedudukan selesa apabila berjaya merapatkan kedudukan menerusi Michal Kasprzyk pada minit ke-30.

 

Kegembiraan pasukan Poland tidak kekal lama apabila Ashran Hamsani berjaya menghukum benteng pertahanan skuad Polska menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-38.

 

Faizal melengkapkan hatrik beliau pada minit ke-45 menerusi pukulan sudut penalti.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans menyifatkan keputusan tersebut sebagai permulaan yang baik dan tonik untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

 

“Saya berharap pemain akan mengekalkan momentum serta meningkatkan lagi tahap persembahan pada perlawanan seterusnya, “ kata bekas jurulatih Pakistan itu.

 

Malaysia akan berdepan dengan juara Sukan Asia, Jepun, pada jam 8.35 malam esok.

Komen anda