Piala Sultan Azlan Shah: Malaysian Tigers dapat semula rentak kemenangan

791
Pemain Kanada, Scholfield Oliver (kiri) dikawal pemain negara Ahmad Shukran Luqman (kanan) pada saingan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Azlan Shah,.

MALAYSIAN Tigers mendapat semula rentak kemenangan apabila berjaya menewaskan Kanada 3-2 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Edisi ke-28, di sini malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia sekali lagi bakal bertemu Kanada dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, di Stadium Azlan Shah, petang esok.

Skuad Speedy Tigers tidak menunggu lama untuk menembusi gawang lawan apabila Mohd Firhan Ashari berjaya menjaringkan satu gol menerusi gol padang pada minit keenam.

Tersentak dengan gol berkenaan, Kanada kembali mengatur gerak dan hasilnya Gordon Johnston berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-15 melalui pukulan sudut penalti.

Kapten pasukan, Razie Rahim pula berjaya meletakkan Malaysia di kedudukan 2-1 apabila bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-17.

Gordon sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada skuad negara apabila berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-22 sekali gus menjadikan kedudukan 2-2.

Berselang seminit kemudian, Mohammad Fitri Saari berjaya menjaringkan gol ketiga skuad negara menerusi pukulan penalti.

Kedudukan berkenaan bagaimanapun kekal hingga tamat perlawanan meskipun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Pemain Kanada, Wallace James (kiri) dikawal tiga pemain Malaysian Tigers pada saingan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Azlan Shah, hari ini
.

Sementara itu, pengendali Malaysia, Roelant Oltmans pada sidang media berkata beliau berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan anak buahnya berbanding ketika perlawanan menentang Korea Selatan, semalam.

Katanya, para pemain berjaya menyerap asakan lawan meskipun Kanada dilihat bertali arus membuat serangan ke kubu gol pasukan negara.

“Untuk perlawanan esok, saya percaya kita boleh menang sekiranya para pemain berjaya mengikut segala perancangan taktikal yang akan disusun esok,” katanya.

Infografik: FB MHC

Komen anda