Piala Sultan Azlan Shah: Malaysian Tigers ketiga terbaik

1200
Foto: FB Malaysian Hockey Confederation

MALAYSIAN Tigers membaiki kedudukan keempat pada edisi lalu apabila menundukkan Kanada 4-2 untuk menamatkan saingan Piala Sultan Azlan Shah ketiga dalam pertemuan penentuan tempat ketiga/keempat di Stadium Azlan Shah di sini sini hari ini.

Dalam pertembungan hari ini, kedua-dua pasukan saling mengasak seawal minit pertama namun gol pertama diraih Kanada menerusi kaptennya Mark Pearson pada minit ke-14.

Enggan mengecewakan lebih 2,000 penyokong, skuad Speedy Tigers melipatgandakan asakan yang membuahkan hasil pada minit ke-23 apabila Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menyudahkan pukulan sudut penalti untuk menyamakan kedudukan.

Gol itu dilihat berjaya membakar semangat pasukan negara apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menambah jaringan menerusi gol padang pada minit ke-29.

Seminit kemudian Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil melebarkan jurang dengan gol ketiga hasil gerakan satu dua dengan Norsyafiq Sumantri.

Bersambung babak kedua, giliran penyerang Faizal Saari mengukuhkan kedudukan Malaysia menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-45.

Seminit sebelum wisel penamat dibunyikan, pukulan deras James Wallace menggegar gawang Malaysia untuk gol kedua Kanada.

Ini juga adalah kali kedua skuad negara menewaskan Kanada dalam tempoh 24 jam yang mana skuad bimbingan Roelant Oltmans itu mengetepikan cabaran Kanada 3-2 untuk berada di tangga ketiga carta, mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan dan dua kekalahan semalam. – Bernama

Foto: FB MHC

 

Komen anda