PJ City bersiap siaga gempur habis-habisan Perak di Kelana Jaya

43
Foto: FB PJ City

PJ City FC bersedia mencari kembali  rentak kemenangan  untuk bertemu Perak dalam pertembungan penting Liga Super, Jumaat ini di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Keyakinan yang dipaparkan Skuad Phoenix itu berikutan persiapan intensif selepas cuti singkat Hari Raya Aidilfitri dan pasukan itu kelihatan cergas dan tidak sabar-sabar untuk beraksi menentang skuad Bos Gaurus.

Jurulatih K.Devan berkata pemain-pemain telah memberikan jaminan mereka akan meningkatkan prestasi permainan dan menyahut cabaran untuk menamatkan kejohanan di kedudukan enam teratas Liga Super.

Beliau berkata Skuad Phoenix akan cuba menebus kekalahan 0-3 kepada PKNS pada 25 Mei selepas merekodkan tiga kemenangan sebelum  ini.

“Kekalahan kepada PKNS adalah satu peringatan.  Mereka sedia bangkit kembali dan menebusnya dalam perlawanan dengan Perak.  Jalan terbaik ialah menumpukan kepada dua perlawanan di tempat sendiri pada masa ini.

“Kami ada dua peluang  besar, perlawanan ini (menentang Perak) dan apabila kami bermain dalam perlawanan seterusnya berhadapan Felda.  Anak buah saya kesemuanya bersedia, amat berkeyakinan dan dan akan berjuang untuk kemenangan sehingga minit terakhir. Bagi saya dua perlawanan di tempat sendiri nanti adalah perlawanan penting buat kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kemenangan Phoenix pada Jumaat ini akan menyaksikannya kedudukannya dalam liga meningkat dengan 20 mata.

Pertemuan PJ City dengan Perak merupakan perlawanan penting buat kedua-dua pasukan kerana hanya satu masa memisahkan kedua-dua mereka, iaitu Perak di tangga kelapan dengan 18 mata, manakala PJ City di tempat kesembilan dengan 17 mata.

Komen anda