PJ City sokong penundaan perlawanan

53

Foto: FB PJ City FC

PETALING Jaya City FC (PJ City FC) tidak menganggap penundaan perlawanan berdepan Johor Darul Takzim (JDT) malam ini, memberi kesan negatif kepada kelab  itu.

 

 

Sebaliknya, Ketua Jurulatih PJ City FC, K. Devan berkata mereka menerima keputusan dibuat oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu kerana mengambil kira aspek kesihatan pemain.

 

 

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, ditunda ke tarikh baharu pada 16 Julai, ekoran masalah kesihatan yang melanda sebahagian besar pemain dan pegawai JDT selepas disahkan dijangkiti virus influenza.

 

 

“Masalah kesihatan seperti itu tidak boleh dielakkan dan kami melihat penangguhan perlawanan ini daripada aspek positif dengan harapan keadaan akan kembali pulih.

 

 

“Tiada masalah daripada pihak kami dan saya menghormati keputusan telah dibuat kerana kita tiada pilihan apabila melibatkan faktor kesihatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan MFL,  semalam.

 

 

Devan berkata, beliau tetap positif dan tidak merasa persiapan mereka terjejas gara-gara penundaan perlawanan itu, sebaliknya persiapan pasukannya tetap berjalan seperti biasa.

 

 

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, menerima keputusan MFL untuk mengubah aksi berdepan JDT diawalkan sehari, dari 14 Julai kepada 13 Julai bagi membolehkan JDT mempunyai tempoh rehat dua hari sebelum bertemu PJ City FC.

 

 

“Ada hikmahnya aksi kami ditetapkan pada 13 Julai, sekurang-kurangnya kami akan bermain serentak dengan dua lagi pasukan yang sedang bersaing di zon penyingkiran iaitu PKNP FC dan Felda.

 

 

“Maka, fokus pemain tidak akan terganggu sekiranya mengetahui keputusan dua pasukan itu lebih awal, jadi ada baiknya bermain pada waktu serentak iaitu pada Sabtu,” katanya.

Komen anda