PJ City uji skuad B-23 Australia di Shah Alam

468
Devan berharap pemain PJ City akan memantapkan corak permainan selepas aksi menentang Perak di Ipoh, baru-baru ini apabila menerima kunjungan skuad B-23 Australia dalam perlawanan persahabatan malam ini.

PENDATANG baharu Liga Super, Petaling Jaya City FC (PJ City FC) akan menguji kemantapan jentera kelab berkenaan apabila turun menentang skuad Bawah 23 (B-23) Australia, Socceroos dalam aksi persahabatan yang dijadualkan berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam, malam ini.

Ketua jurulatih PJ City FC K. Devan berkata, perlawanan itu akan dimanfaatkan pemain untuk menimba pengalaman serta platform mendapatkan rentak sebagai sebuah pasukan.

“Isunya sekarang ialah mencipta rentak dan memastikan kita semua tahu apa yang harus dilakukan. Amat penting bagi mereka menentang pasukan lebih kuat dalam perlawanan persahabatan agar mereka lebih bersedia menghadapi perlawanan yang masih berbaki.

“Pasukan Australia skuad yang kuat dan saya sedar akan kualiti serta kekuatan mereka. Ia akan menjadi ujian terbaik untuk anak buah saya bagi menghadapi saingan mencabar Liga Super,” kata Devan.

Menurut kenyataan Petaling Jaya City FC, Socceroos kini dalam jelajah Malaysia sebelum memulakan saingan pada kelayakan Piala AFC B-23 2020 yang dijadualkan bermula di Kemboja pada 22 Mac.

Sebagai acara pemanas badan, pasukan Australia itu juga akan menentang skuad B-22 negara pada 17 Mac di Stadium Shah Alam sebelum berlepas ke Phnom Penh. – Bernama

Komen anda