PJFC manfaat sepenuhnya tempoh rehat

67
Pemain PJFC meraikan kejayaan selepas menumpaskann TFC, 5-3.

SUNTIKAN semangat dan taktikal yang dirancang semasa tempoh rehat separuh masa pertama nyata memberikan impak luar biasa buat Petaling Jaya City FC (PJFC) apabila bangkit menjaringkan lima gol untuk mengutip tiga mata penuh menewaskan Terengganu FC (TFC), 5-3 pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama sebelum mendapat tonik berguna anak didik K Devan membuktikan semangat tinggi dan keyakinan serta semangat berpasukan mengatasi segala-galanya untuk membawa pulang tiga mata ke Kuala Lumpur.

Bagi K Devan, tiga gol yang dihasilkan lawan pada separuh masa pertama memberikan kesan ketara buat pemainnya sebelum kedua-dua pasukan beredar ke bilik persalinan.

"Tiga gol dihasilkan lawan dalam masa singkat memberi impak, tetapi tempoh masa rehat dalam bilik persalinan saya lihat keyakinan pemain begitu ketara dan tinggi untuk bangkit meraih kemenangan.

"Kami perlu mendapatkan gol awal pada separuh masa kedua, itu yang saya terapkan kepada pemain, apabila gol pertama terhasil sudah pasti akan menyusul gol kedua dan ketiga serta seterusnya.

"Pemain mengikut segala perancangan dan kami mengakui gol pertama terhasil merupakan suntikan semangat moral kepada pemain untuk terus memburu gol sehinggalah lima jaringan terhasil.

"Sungguh luar biasa aksi pemain malam ini dan saya memang tidak menjangkakan memenangi perlawanan dengan jaringan 5-3," jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan tersebut, pelawat ketinggalan 0-3 kepada tuan rumah selepas Kipre Tchetche meledak gol pertama minit ke-11 sebelum Nabil Ahmad Latpi (m-17) dan pemain berpengalaman Ashari Samsudin selang dua minit kemudian untuk meletakkan TFC selesa didepan pada separuh masa pertama.

Namun PJFC bangkit pada separuh masa kedua dengan lima gol terhasil melalui Elizeu Batista pada minit ke-48, Pedro Henrique (m-56), Washington Brandao (m-57), Zamri Ramli (m-77) dan Henrique sekali lagi meledak gol pada minit 80 untuk melengkapkan malam gemilang The Pheonix.

Mengulas persembahan pada separuh masa pertama, Devan mengakui anak didiknya lambat menyesuaikan diri dengan corak permainan terutamanya apabila beraksi di tempat lawan selain tiga gol pantas yang diraih tuan rumah.

"Kami terlampau memikirkan gol selepas lawan mendahului pada separuh masa pertama hingga gol kedua dan ketiga TFC terhasil, lambat untuk sesuaikan diri namun selepas tiga gol terhasil saya lihat pemain mula mencipta gerakan dan memberi tekanan kepada lawan.

"Cuma babak pertama kami gagal menjaringkan gol, positifnya keyakinan pemain dan semangat mereka tidak luntur walaupun ketinggalan," katanya.

Komen anda