PKNP FC pamer semangat juang

926

SEMANGAT melawan yang dipamerkan pemain selepas ketinggalan antara faktor utama PKNP FC berjaya mengatasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan keputusan 3-2 pada saingan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Mendahului lawan hasil jaringan Yashir Pinto pada minit ke-16 sebelum penyerang import pelawat Patrick Ronaldinho menyamakan kedudukan selang enam minit kemudian sebelum ketinggalan pada babak awal separuh masa kedua hasil ledakan Muhamad Fauzan Muhamad Fauzi, skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim ternyata tidak mudah berputus asa.

Hasilnya pemain gantian, Mohamad Fazrul Hazli Mohd Kadri menyamakan kedudukan pada minit ke-74 sebelum Hafiz Ramdan menjaringkan gol kemenangan hasil sepakan percuma pada minit ke 88.

Bagi Abu Bakar, kebangkitan pasukan bermula gol penyamaan yang dijaringkan Fazrul yang dilihat begitu berkesan serta menaikkan semangat pemain.

“Pemain menujukkan perwatakan tidak mudah berputus asa, kami tahu PDRM hadir dengan misi memburu kemenangan, walaupun ketinggalan pada separuh masa kedua pemain tetap bersemangat.

“Kebangkitan pemain bermula dari gol penyamaan selain beberapa pertukaran dibahagian serangan yang terus memberikan tekanan kepada pertahanan pelawat,” ujarnya.

Mengenai aksi pemain import, Abu Bakar melihat sumbangan yang diberikan mereka masih seimbang dan pasukan akan menilai keberkesanan peranan yang diberikan.

“Kita sedia maklum pada jendela perpindahan kedua banyak pasukan akan melakukan pertukaran pemain import, untuk PKNP FC kami akan tengok dahulu dan nilai prestasi setakat ini,” katanya yang membimbing pasukan melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA musim lalu.

Komen anda