PKNP FC perlukan tonik baharu

113
Pemain import PKNP FC, Pedro Victor (kiri) cuba melepasi kawalan K Partiban. (Foto : FB pknpfc2016)

KELAB Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yakin akan menamatkan saingan Liga Super 2019 di kedudukan lapan terbaik walaupun gagal meraih kemenangan keempat selepas kecundang 1-3 di tangan Perak malam tadi.

Keyakinan ini disuarakan pengendalinya, Abu Bakar Fadzim selepas bakal membawa masuk penyerang import baharu bagi mempertajamkan jentera serangan yang dilihat agak lesu dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Kami dapat lihat saingan kini semakin menarik bukan sahaja kelompok tiga teratas tapi semua pasukan, jadi kami perlukan pemain import baharu bagi menggantikan Thomas Abby yang mengalami keretakan tulang kaki dan terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya lapan minggu.

"Abby terpaksa diketepikan, jadi kami akan membawa masuk penyerang baharu dari Brazil yang dijangka tiba esok," jelasnya.

Mengulas permainan anak didiknya, Abu Bakar melihat perubahan Perak yang membawa masuk penyerang import membezakan kedua pasukan pada aksi yang memihak lawan.

"Perak membawa masuk penyerang import yang menjalankan tugasnya menjaringkan gol, itu yang membezakan kami berdua malam ini, mereka memiliki peluang dan menyudahkannya dengan jaringan gol.

"Kami ada peluang tetapi tidak terjemahkan dengan jaringan, jadi kami perlukan sedikit tenaga tambahan baharu untuk pemain sedia ada," tegasnya yang memaklumkan penyerang import dari Brazil itu dijangka membuat penampilan pada aksi menentang Selangor, 18 Mei nanti.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak, dua pemain import baharu Perak dari Brazil, Raianderson Da Costa Morais atau lebih dikenali Careca dan Ronaldo Henrique Silva berjaya membuktikan ketajaman mereka dengan menyumbat ketiga-tiga gol kemenangan, manakala gol saguhati PKNP FC dijaringkan Yashir Pinto.

Untuk rekod PKNP FC kini berada di tangga ke-10 mengumpul 11 mata hasil tiga kemenangan, dua seri dan lapan kekalahan.

–tamat–

Komen anda