PKNP tiada pilihan kecuali tewaskan PJ City

34
Foto: FB PKNP FC

PENGENDALI PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengakui kelab kendaliannya menempah laluan sukar untuk kekal dalam Liga Super musim depan apabila sekadar terikat 1-1 dengan Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam semalam,

Menurutnya, pemain terutama jentera serangan gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk menghasilkan jaringan meskipun mendominasi perlawanan.

“Kalau begini memang sukarlah kerana pada kedudukan sekarang kemenangan amat penting dan saya memang harapkan jentera serangan tak mensia-siakan peluang yang ada,” katanya dalam sidang media sejurus selesai perlawanan.

Pada perlawanan itu, gol Felda United dijaringkan oleh S Chanturu pada minit ke-52, manakala gol penyamaan PKNP FC pula disumbangkan pemain kebangsaan Palestin, Yashir Pinto pada minit ke-80.

Mengulas aksi menentang PJ City pada 21 Julai ini di Petaling Jaya, Abu Bakar berkata, PKNP FC perlu mengutip tiga mata penuh bagi mengelak tersingkir daripada Liga Super.

Sementara itu, ketua jurulatih Felda United, Mohd Nidzam Jamil berkata, beliau akan memastikan pasukannya berjuang habis-habisan dalam baki dua perlawanan menentang Pahang selain Kedah pada 17 dan 21 Julai ini.

Katanya, meskipun kedua-dua perlawanan itu dianggap sukar namun hanya dengan kemenangan mampu mencerahkan peluang pasukannya untuk terus kekal dalam saingan Liga Super pada musim depan.

“Kita mungkin ada sedikit kelebihan sebab kita ada baki dua perlawanan lagi namun yang tak bagusnya kita nak jumpa Pahang dengan Kedah.

“Kedua-duanya aksi yang sukar sebab mereka juga perlukan kemenangan untuk memperbaiki kedudukan. Apa pun kita kena dapatkan tiga mata sekurang-kurangnya di antara kedua-dua perlawanan itu untuk kita berada dalam kedudukan yang selamat,” katanya.

Komen anda