PKNS FC menang bukan kerana nasib

263

PENGENDALI PKNS FC, Datuk K Rajagopal melihat kemenangan pasukannya ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan ketiga Piala FA yang melayakkan untuk berada dalam kelompok lapan terbaik bukan disebabkan nasib.

Ujarnya, dalam perlawanan sememangnya pasukan memerlukan nasib tetapi jika dilihat pada aksi kali ini ia nyata berbeza kerana PKNS FC memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

“Jika awak cakap kemenangan ini adalah nasib, adakah kamu lihat keseluruhan perlawanan dimana kami juga memiliki peluang satu lawan satu untuk menjaringkan gol.

“Ada kalanya kamu memerlukan nasib dalam perlawanan tapi kali ini kemenangan kami bukan disebabkan nasib tetapi kerjasama sebagai satu pasukan serta kerja keras yang dilakukan pemain.

“Bukan senang untuk meraih kemenangan dan keputusan ini begitu mengembirakan,” jelasnya.

Pada perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, tuan rumah terpaksa beraksi 10 pemain apabila Kiko Insa dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain PKNS FC, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali dan kelebihan itu digunakan pelawat untuk menjaringkan gol melalui Kpah Sherman pada minit ke-49.

Mengulas kemenangan ke atas JDT di Larkin, Rajagopal mengakui barisan pemainnya turun dengan pemikiran positif untuk memburu kemenangan.

“Bukan senang untuk dapat kemenangan, Piala FA ini berbeza kerana ia pertandingan kalah mati pada peringkat ini, pemain membuktikan komitmen.

“Tuan rumah memiliki kualiti pemain yang bagus pada setiap posisi, walaupun mereka kekurangan seorang pemain tetapi tetap memberikan tekanan kepada PKNS FC, dalam situasi ini saya harapkan pemain dapat mengekalkan disiplin dan jangan bagi ruang kepada pemain JDT kerana mereka memiliki kemahiran individu yang baik,” katanya.

Komen anda