Presiden PJBM: Sathia menang tanpa bertanding

459

KETUA Jurulatih Selangor, B Sathianathan mengekalkan jawatan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) 2018-2022 selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan persatuan itu di sebuah hotel di sini, hari ini.

 

Pengendali berusia 60 tahun itu  mengekalkan kerusi nombor satu persatuan setelah pencabar Reduan Abdullah menarik diri bertanding merebut jawatan terbabit pada kongres kali ini.

 

Turut mempertahankan jawatan ialah dua Timbalan Presiden, Datuk Ong Kim Swee dan Zainal Abidin Hassan yang masing-masing memperoleh 120 dan 118 undi, menewaskan seorang lagi calon pencabar, Raja Isa Raja Akram Shah yang sekadar meraih 52 undi sementara seorang lagi calon  Ismail Zakaria menarik diri.

Tiga daripada penyandang jawatan Naib Presiden PJBM iaitu Datuk Richard Scully, Mohd. Dali Wahid dan Aminuddin Hussin turut menang tanpa bertanding untuk mengekalkan jawatan masing-masing di samping muka baharu, Dr Zulakbal Abd. Karim.

 

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi ketika merasmikan pemilihan berkenaan berkata,  PJBM adalah antara elemen penting dalam aspek pembangunan bola sepak negara.

 

Menurutnya, setiap jurulatih memiliki peranan masing-masing tanpa mengira jenis lesen perolehi kerana yang lebih penting adalah usaha berterusan mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi.

 

“Kita tidak boleh membandingkan peranan setiap jurulatih. Mereka yang memegang lesen B atau C adalah elemen penting untuk mendidik bakat-bakat baharu di peringkat sekolah rendah.Jika usaha-usaha sebegini terus diperhebatkan, maka misi kita untuk melahirkan lebih ramai pemain berwibawa pada masa akan datang akan tercapai,” jelas Yusoff.

 

Begitupun, beliau menggalakkan jurulatih tempatan untuk terus mengikuti kursus kejurulatihan terutamanya kumpulan yang memegang lesen C mahupun B.

 

Semua ahli gabungan dari seluruh negara hadir menghadiri kongres tersebut bagi memilih barisan kepimpinan baharu untuk penggal 2019-2022.

 

EXCO PJBM 2018-2022

PRESIDEN:

B SATHIANATHAN

TIMBALAN PRESIDEN:

DATUK ONG KIM SWEE

ZAINAL ABIDIN HASSAN ALI

NAIB PRESIDEN:

DATUK RICHARD SCULLY

MOHD DALI WAHID

AMINUDDIN HUSSIN

DR. ZULAKBAL ABD KARIM

AHLI JAWATANKUASA:

HARIS LAJID

S. BALACHANDRAN

CHEW CHOON YONG

REZAL ZAMBREE YAHYA

MOHAMAD ISHAK KUNJU MOHAMAD

RIDZUAN ABU SHAH

BADRULHISHAM  AHMAD

MOHAMED RAZIP ISMAIL

FARHANA ABDULLAH

SITI SUHAILA MOHD. JOHARI

 

Komen anda