Prestasi luar biasa Harimau Muda pada Kejuaraan AFF jelmakan harapan baharu masa depan bola sepak negara

108

KEJAYAAN dilakar skuad muda negara pada Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 memberi petanda positif bahawa bola sepak Malaysia kini sedang menuju ke arah sebuah permulaan cemerlang selepas hampir 30 tahun dibelenggu kemerosotan prestasi.

 

 

Gambaran itu jelas bermain di fikiran kebanyakan peminat bola sepak tanah air selepas skuad Bawah 15 Tahun (B-15) menjuarai Kejohanan AFF B-15 di Thailand dan skuad Bawah 18 Tahun (B-18) muncul naib juara Kejohanan AFF B-18 di Vietnam, baru-baru ini.

 

 

Lebih mengujakan, kedua-dua skuad muda negara itu turut melakar kejutan, malah skuad B-18 berjaya menewaskan salah satu gergasi Asia, Australia dengan keputusan 3-0, sekali gus melenyapkan rekod pertemuan terdahulu menyaksikan Malaysia seakan berdepan tugas mustahil menumpaskan skuad Kanggaru Muda pada setiap kejohanan peringkat umur.

 

 

Cuma, agak terkilan skuad Brad Maloney itu gagal mengulangi aksi terpuji mereka ketika berdepan skuad kendalian Gary Rudy Peter Van Egmond apabila tumpas tipis 0-1 di pentas final.

 

 

Bagi bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Dollah Salleh, pihak berkaitan perlu mempunyai pelan khusus supaya kualiti dimiliki barisan pemain muda negara dapat dipelihara seterusnya dikekalkan pada tahap terbaik sehingga mereka menyarung jersi skuad senior kebangsaan.

 

 

“Sebenarnya saya terkejut dan tidak menyangka Malaysia menang sehingga 3-0 kerana Australia seperti kita tahu pasukan hebat di peringkat ASEAN. Mereka (Australia) mudah menewaskan Vietnam serta Thailand dengan jurang yang besar dan kita pula tewas kepada Vietnam pada awal kejohanan.

 

 

“Mereka (pemain muda) layak menerima pujian tetapi pihak atasan perlu memainkan peranan lebih efektif, kalau boleh jaga mereka daripada segenap aspek dengan baik. Kebiasaannya di peringkat remaja kita baik tetapi memasuki peringkat lebih tinggi, ramai hilang daripada radar,” katanya.

Foto: Football Association of Malaysia (Official)

 

Mengulas lanjut, bekas penyerang kebangsaan itu menyimpan impian untuk melihat Malaysia kembali menjadi antara kuasa besar bola sepak Asia seperti pernah dikecapi sebelum era 90-an.

 

 

“Nasihat saya, kita perlu memandang lebih jauh dan berfikir bagaimana kita dapat menyaingi kehebatan Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara Timur Tengah. Di peringkat ASEAN kita hebat, dan kini masa untuk menuju ke peringkat Asia,” katanya yang kini membimbing pasukan Pahang dalam saingan Liga Malaysia.

 

 

Legenda bola sepak negara, Khalid Ali yang bangga dengan pencapaian itu, berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama pemegang taruh lain perlu sentiasa mencari kaedah bagi meningkatkan prestasi pemain muda negara dan tidak boleh lagi memandang ke belakang.

 

 

Khalid yang merupakan antara watak penting kejayaan skuad negara dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980, berkata apa diperlukan Malaysia adalah melahirkan lebih ramai kelompok pemain hebat terutamanya apabila menggalas cabaran negara di kejohanan peringkat senior.

 

 

“Pada saya, ini satu pencapaian perlu dibanggakan dan petanda kebangkitan bola sepak negara tetapi ingin saya tegaskan dengan jumlah tidak sampai 30 pemain (muda) ini sahaja tidak cukup. Kita perlu lahirkan lebih ramai pemain berkualiti dan tidak hanya bergantung kepada mereka sahaja.

 

 

“Pasukan seperti Australia dan mana-mana pasukan terbaik dunia di peringkat remaja mereka tidak terlalu menonjol dan perubahan itu dilihat sebaik mereka memasuki peringkat senior. Jangan terkejut skuad yang kita kalahkan ini mungkin satu hari nanti mudah membelasah kita di peringkat senior.

 

 

“Kita ada pemain yang berpotensi besar dan itu sudah terbukti. Jadi bila sudah terbukti, jangan sia-siakan peluang ini untuk terus mengasah dan menjaga mereka supaya apa dicapai di peringkat (kejohanan remaja) ini dapat dibawa sehingga ke tahap tertinggi,” jelas beliau.

 

 

Kedua-dua skuad muda negara kini dalam persiapan menghadapi pusingan Kelayakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 dalam misi mengintai peluang buat julung kali beraksi di Piala Dunia B-17 dan B-20 pada 2021.

Komen anda