Pukulan servis tajam senjata Bencic

71

Pemain tenis Switzerland, Belinda Bencic menyambar tiket separuh akhir BNP Terbuka Paribas selepas membenam Karolina Pliskova 6-3, 4-6, 6-3 pada aksi suku akhir semalam.

 

Pukulan servis tajam ternyata menjadi senjata ampuh buat Bencic untuk menyingkirkan pemain nombor lima dunia dari Republik Czech itu.

 

“Ia satu impian. Saya tidak percaya yang saya mampu menang hari ini (semalam). Saya memasuki gelanggang dengan tidak menjangkakan apa-apa dan hanya cuba bermain sebaik mungkin.

“Apa yang jelas, perancangan saya adalah untuk cuba bermain rali dengannya dan menjadi lebih baik ketika bertahan dan juga dominan apabila saya boleh melakukannya,” kata Bencic.

 

Rabu lalu, Bencic mencipta kejutan awal apabila menewaskan juara bertahan yang juga pemain nombor satu dunia dari Jepun, Naomi Osaka 6-3, 6-1 pada pusingan keempat.

 

Tampil selaku pilihan ke-23 kejohanan, Bencic dijadualkan menentang pemain nombor lapan dunia dari Jerman, Angelique Kerber dalam saingan separuh akhir hari ini.

 

Kerber yang juga bekas pemain nombor satu dunia berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik selepas menewaskan Venus Williams 7-6 (7/3), 6-3.

 

“Saya rasa Venus bermain dengan penuh taktikal hari ini (semalam). Namun, saya cuba berikan aksi terbaik sehingga berjaya menemui rentak semula pada penghujung set pertama,” jelas Kerber.

Komen anda