Purple League Junior perkenalkan divisyen tiga

213
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Purple League Datuk Jack Koh (kiri) bersalaman dengan Pengarah Urusan AEON Credit Service (M) Berhad Yuro Kisaka selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman sempena Majlis Pelancaran AEON Credit Purple League Junior 2019 hari ini.

PURPLE League Junior (PLJ) akan kembali buat kali kelima dengan satu divisyen baru sebagai tambahan kepada dua divisyen yang sedia ada, sebagai platform untuk para pemain muda badminton mengasah bakat mereka.

Ketua pegawai eksekutif Malaysia Purple League (MPL), Datuk Jack Koh berkata divisyen ketiga itu, yang telah dapat menarik enam kelab baru, akan menjadi platform kepada para pemain muda badminton membuktikan kemampuan mereka dan memberikan pendedahan secukupnya kepada mereka, memandangkan ramai yang mengeluhkan kurangnya pertandingan dan pendedahan untuk para pemain tahap junior.

Jack berkata dengan ramainya bekas pemain PLJ yang telah mempamerkan persembahan yang baik pada Kejohanan Badminton Junior Dunia sejak penganjuran PLJ pada 2015, pengenalan divisyen baru itu amat penting dalam membantu MPL mencapai matlamat mewujudkan asas badminton yang kukuh demi mewujudkan lebih banyak pencapaian cemerlang dalam sukan itu.

Divisyen satu, yang terdiri daripada sembilan pasukan adalah untuk para pemain junior paling atas di Asia Tenggara dan dalam negara, terutama para pemain Bawah 18 dari Sukan Sukan Bukit Jalil (BJSS) dan mereka yang sedang melakukan persiapan untuk Kejohonan Badminton Junior Dunia, memandangkan seramai kira-kira 17 pemain asing akan menyertainya kali ini.

“Divisyen kedua pula adalah untuk baki para pemain dari BJSS dan para pemain negara, manakala dalam divisyen tiga kami mengalu-alukan mana-mana kanak-kanak di Malaysia yang berasa mereka cergas, baik tetapi berasa tiada platform untuk mereka. Untuk tahun depan, kami merancang untuk mewujudkan divisyen empat ke seluruh negara.

“Kita sedang menghadapi masa-masa sukar dalam sukan badminton sekarang, terutama apabila kita tidak mempunyai pemain hebat seperti Datuk Lee Chong Wei. Tetapi kita perlu terus memperbesarkan asasnya …Hanya dengan asas yang lebih besar, kita akan dapat mengekalkan pemain-pemain hebat,” katanya pada pelancaran kejohanan Aeon Credit Purple League Junior 2019 di sini hari ini.

Kejohanan PLJ tahun ini akan bermula pada hujung minggu ini di Arena Sukan Falim, Ipoh, manakala pertandingan akhir dijadualkan pada 19-20 Okt di Arena Sukan Sentosa di sini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Aeon Credit, Yuro Kisaka berkata bakat-bakat baru adalah sumber yang amat bernilai dalam mana-mana industri, yang perlu dipupuk dan dibangunkan demi kebaikan masyarakat.

“Kami percaya, bahawa menerusi perkongsian ini, kita akan dapat membantu para pemain muda menyerlahkan potensi mereka dan memberikan mereka langkah permulaan dalam kerjaya badminton,” katanya.

Juara bertahan divisyen satu, Bukit Cheras BC akan kembali untuk mempertahankan kejuaraan walaupun bakal berdepan cabaran hebat daripada musuh-musuh tradisi mereka seperti Ampang Jaya BC, Rawang BC, juara dua kali Petaling BC selain beberapa pasukan baru, Amanjaya BC dan Kuantan Synergy BC.

Komen anda