Pusingan 3 ARRC: McKinley Kyle Paz, Fernando Masato tekad mantapkan prestasi jentera

72

PUSINGAN 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 akan membuka tirainya dengan sesi latihan bebas di Litar Antarabangsa Chang esok.

Seperti biasa, sesi tersebut akan dipergunakan sepenuhnya untuk mencari pelarasan terbaik untuk jentera masing-masing sebelum menghadapi saingan sebenar pada hari Sabtu dan Ahad nanti.

Sesi esok akan bermula dengan latihan bebas bagi kelas Underbone 150 yang bakal menyaksikan penyertaan daripada 30 pelumba.

Setiap kategori diperuntukkan tiga sesi iaitu pada sebelah pagi tengah hari dan petang manakala bagi kelas ASB1000 , pelumba bakal mengharungi dua sesi latihan bebas.

Latihan bebas itu merupakan medan terbaik buat semua pasukan untuk mencari pelarasan sesuai buat jentera mereka, dan apa yang penting, pelarasan tersebut harus memberi keselesaan kepada pelumba untuk mengendalikannya.

Bagi pendahulu keseluruhan kelas UB150, McKinley Kyle Paz, mereka lebih banyak menumpukan perhatian untuk terus memantapkan prestasi jentera.

Menurut pelumba UMA Racing Yamaha Philippine Team itu, pelarasan hendaklah bersesuaian dengan gaya tunggangannya dan juga dengan keadaan litar.

“Hari ini, fokus kami hanyalah untuk menyiapkan jentera dan kerja-kerja pelarasan atau mencari ‘setting’ terbaik akan dilakukan esok.

“Kami perlu memahami keadaan litar dan juga keadaan suhu. Kami harus bersedia daripada semua sudut agar apa yang kami rancang berjalan dengan sempurna di Buriram nanti,” jelas Kyle yang kini mendahului kedudukan dengan memungut 41 mata.

Rakan sepasukannya , Fernando Masato turut tidak sabar untuk turun gelanggang d alam misi untuk mengekalkan prestasi cemerlang seperti mana yang diuktikan. Dalam dua pusingan sebelum ini.

Dua pelumba Filipina itu kini diekori rapat pelumba pasukan Team One For All yang berada di kedudukan ketiga dengan mengutip 28 mata.

Seorang lagi pelumba Malaysia, Mohd. Amirul Ariff Musa Yuzy Honda Racing) berada di kedudukan keempat dengan 27 mata.

“Seperti biasa, kami akan bekerja keras untuk melakukan yang terbaik dan berharap keadaan jentera juga semakin mantap,” jelas Amirul.

Menurutnya, walaupun kerja-kerja pelarasan ini merupakan perkara biasa, tetapi setiap setting adalah berbeza di setiap pusingan.

“Ia bukan kerja yang boleh dipandang mudah,” jelasnya yang turut mengintai untuk berada di podium, Ahad ini.
Hari ini, semua pasukan untuk setiap kategori sekadar membuat persiapan awal dengan menyiapkan jentera masing-masing sebelum ia mula diuji pada latihan bebas esok.

Pada sebelah petangnya, para pelumba menghadiri sesi taklimat, iaitu rutin wajib sebelum berlangsungnya aksi sebenar di atas litar.

JADUAL LATIHAN BEBAS ESOK

8 pagi: UB150

8.40 pagi: AP250

9.20 pagi: SS600

10.50 pagi: UB150

11.30 pagi: AP250

12.10 tengah hari: SS600

12.50 tengah hari: ASB1000

2 petang: UB150

2.40 petang: AP250

3.20 petang: SS600

4 petang: ASB1000

4.50 petang: Honda Thailand Talent

Komen anda