Rafiq gegar Hong Kong

109

SKUAD boling negara meraih tiga kedudukan di podium apabila pemain boling kebangsaan, Rafiq Ismail merangkul kejuaraan dalam kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kong Kong ke-45 di Pusat Boling SCAA, semalam.

 

 

Pemain berusia 22 tahun itu mengalahkan rakan senegara, Ahmad Muaz Fishol 236/223 berbanding 244/174 dalam acara final stepladder lelaki untuk bergelar juara.

 

 

Ini adalah gelaran ketiga juara bertahan dunia itu pada musim ini, yang menamatkan kemarau musim ini dengan memenangi Terbuka Singapura bulan lepas dan Masters Jelajah Boling Eropah di Madrid, awal bulan ini.

 

 

Rafiq dan Ahmad Muaz melangkah ke final stepladder selepas berada di tangga teratas final peringkat 2 masing-masing dengan melakukan 1,883 dan 1,848 jatuhan pin.

 

 

Sementara itu, Nur Amirah Auni Azman terpaksa berpuas hati di tempat kedua dalam terbuka wanita selepas kalah kepada Iliya Syamin dari Singapura 215-160.

 

 

Nur Amirah melangkah ke final stepladder selepas berkesudahan di tempat ketiga dalam final peringkat 2 dengan melakukan 1,749 jatuhan pin, manakala Iliya pula di tempat teratas dengan 1,794 jatuhan pin.

 

 

Dalam acara stepladder, Nur Amirah (288 jatuhan pin) mengatasi Lara Posadas-Wong (221) dari Filipina dan pemain Macau, Won Son Ian (211) sebelum berdepan dengan Iliya.

Komen anda